Rasuah, penyelewengan, adalah sesuatu yang nista ikut integriti dalam sejarah Melayu

Satu aspek yang sering diketengahkan dalam menilai seseorang dengan peranan atau tanggungjawab besar dalam menangani masyarakat awam adalah aspek integriti.

Sebagai contoh, kita menilai tahap integriti seorang perdana menteri, menteri, naib canselor, pegawai daerah, ketua polis, pengarah atau pegawai yang berdepan dengan orang awam.

Integriti perlu ada pada tiap pekerja bawahan. Pendek kata, siapa sahaja dengan amanah tergalas, khusus berhubungan dengan masyarakat, akan dan boleh dipersoalkan integriti mereka.

Integriti adalah “mutu” yang menjadikan seseorang dengan peranan itu unggul, ia wujud dan tampak, malah terserlah secara keseluruhan dan padu pada seseorang itu atau sesebuah organisasi. Mereka dengan integriti melaksanakan tugas dengan penuh jujur, cekap, bersih dan amanah mengikut ruang lingkup bidang kuasa dan tugas yang digariskan.

Seseorang itu perlu telus, dan menghindar konflik peribadi tatkala menangani sesuatu isu yang timbul. Hal ini akan menjadi ukuran wibawa, akauntabiliti dan parameter kepatuhan kepada segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Seseorang politikus, atau pegawai kerajaan atau sesebuah syarikat dengan integriti tidak akan menerima dan memberi rasuah. Seseorang staf sokongan di sesebuah organisasi tidak akan menyalahgunakan harta pejabat sebagai contoh.

Melayu-Islam dan integriti

Hari ini integriti sering diungkapkan dan sayugia diingatkan, ia bukanlah sesuatu yang baharu. Usaha untuk menegakkan integriti, keadilan, dan sangkalan terhadap kezaliman misalnya pernah disinggung oleh arwah Datuk Hassan Ahmad dalam makalah beliau “Pandangan Melayu-Islam Tentang Keadilan”.

Harus diingatkan keadilan adalah satu aspek yang terkandung dalam integriti.
Seseorang pegawai yang berintegriti tidak akan memihak kepada seseorang yang kejam apabila berdepan dengan keperluan untuk menghakimi.

Hassan secara panjang lebar menunjukkan perincian tentang keadilan (baca integriti) menerusi episod nasihat Sultan Alauddin kepada anak yang akan menggantikannya dalam Sulalat al Salatin atau Sejarah Melayu. Dalam hal ini, seorang sultan, raja atau pemerintah baik diungkapkan sebagai berikut:

“Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksai baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu, kerana sabda Nabi…segala kamu yang mengembala lagi akan ditanyai Allah daripada segala ra’ rakyatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan syaksama supaya di sana [di akhirat] terpelihara Allah ta’ala kiranya engkau di dalam akhirat.”

Hassan seterusnya menyatakan: “Kemudian raja memberi nasihat tentang kerjasama antara raja dengan para pegawainya, dan tentang peranan raja vis-à-vis para pegawainya dan peranan raja vis-à-vis rakyat kata raja:

“Syahdan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan orang besyar-besyar, kerana raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya.

“Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala…[yang] ra’ ayat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan dapat berdiri….

“Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, Melainkan yang patut pada hukum Allah, kerana segala Melayu, …..seperti [kata] hadis, yang hamba itu tu{h}anya, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”

3 prinsip Sultan Alauddin

Berdasarkan nasihat-nasihat Sultan Alauddin di atas, menurut Hassan, huraian atau pandangan mengenai konsep Melayu-Islam tentang keadilan dan integriti ini dapat dipanjangkan dengan 3 prinsip.

Pertama, seorang pemerintah tiada hak mengambil atau merampas hak manusia lain, dalam hal ini rakyat, “dengan tiada sebenarnya”. Hak manusia diiktiraf mengikut peraturan, adat atau undang-undang. Justeru, konsep integriti Melayu itu sama sekali tidak memijak orang lain. Apatah lagi menzalimi.

Kedua, Sultan Alauddin menegaskan yang manusia atau rakyat ialah hamba kepada Allah. Hassan menyatakan ini memberi implikasi “rakyat bukan hamba abdi raja”.
Pemerintah atau bos tidak lebih hanya seorang pemegang amanah, untuk menguruskan manusia/ rakyat menurut hukum Allah, undang-undang dunia, bukan menurut hawa nafsu raja. Ini dapat dikaitkan lanjut menerusi kata-kata peranan “raja sebagai pohon atau payung tempat rakyat mendapat naungan atau perlindungan raja/pemerintah, dan rakyat sebagai akar atau pendukung raja, tanpa rakyat raja tidak akan ada”.

Hassan menekankan maksud atau prinsip ini terkandung pada metafora “raja sebagai pohon”.

Ketiga, konsep keadilan dalam Melayu mengambil perhatian yang “negeri tidak akan sentosa jikalau tiada permuafakatan antara raja (ketua kerajaan) dengan para pegawainya”.

Rakyat bukan hamba

Ini memberi isyarat yang sangat jelas bahawa “raja tidak boleh memerintah secara autokratik, tetapi mesti memerintah melalui prinsip perundingan atau prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility)”.

Kali ini, untuk menyatakan maksud, formula “kayu=pegawai, api=raja” digunakan secara halus bagi menyampaikan konsep yang abstrak ini. Secara mudahnya konsep integriti Melayu sangat menegaskan hubungan dua hala dan pendekatan dialog yang bukan bertujuan memaksakan.

Hassan secara lanjut mengupas seruan daripada Sultan Alauddin kepada anaknya agar “berbuat ibadat sangat-sangat” adalah “mencakupi ibadat kepada rakyat dan negara” yang mana kepatuhan kepada hukum Allah menjadi rujukan seandainya adat atau hukum manusia tidak dapat menyelesaikan masalah.

Manakala dalam hal undang-undang adat, pandangan Melayu “biar mati anak jangan mati adat” mempunyai beban yang serupa dengan prinsip yang dipertahankan oleh mana-mana masyarakat moden pada hari ini, iaitu keadilan dan peraturan undang-undang atau “rule of law”.

Ini bererti, adat, yakni undang-undang tidak boleh dimatikan untuk menyelamatkan si anak itu, mungkin anak raja, atau anak menteri atau perdana menteri:

“‘Anak’ adalah kesayangan setiap ibu dan bapa. Maka dengan memilih ‘anak’ sebagai objek untuk menyatakan prinsip ini, nampaklah dalam pemikiran orang Melayu, perbuatan ‘memilih bulu’, emosi dan perasaan, tidak boleh mengatasi peraturan undang-undang. Kita dapat mengatakan bahawa pepatah ini lahir daripada minda kolektif rakyat Melayu yang hidup dalam masyarakat feudal: mereka mahu keadilan menurut kehendak raja atau golongan bangsawan yang memerintah negeri atau masyarakat secara mutlak. Jika konsep keadilan yang dijelaskan dalam SAS (Sulalatus Salatin), seperti yang kita kutip tadi, disatukan dengan kehendak rakyat tentang keadilan seperti yang terungkap dalam kata-kata biar mati anak jangan mati adat maka, bolehlah dikatakan konsep Melayu tentang keadilan cukup tuntas. Sama ada prinsip yang dinyatakan itu diamalkan oleh kerajaan atau pemerintah Melayu sepanjang zaman, itu soal lain. Faktanya ialah: bangsa Melayu mempunyai undang-undang dan menyedari peri pentingnya keadilan undang-undang untuk kestabilan negara dan masyarakat, untuk keamanan sosial dan politik, dan untuk keselamatan rakyat. Seperti kata Sultan ‘Alauddin kepada anaknya, jika engkau tidak berlaku adil, Sultan Mahmud Syah, menjadi raja yang ganas, kejam dan tidak adil, Melaka menjadi lemah dan akhirnya diserang dan ditawan oleh Portugis.”

Penggunaan kata “anak” mengatasi undang-undang bukan sahaja satu kata perli tetapi merupakan parameter yang harus dipelihara oleh kelompok penguasa atau pemerintah.

Ini menunjukkan konsep keadilan untuk semua manusia, atau kesetaraan dan pertahanan kehormatan tidaklah sama sekali asing dalam kalangan orang Melayu.

Kalaupun berdepan dengan anak, apatah lagi anak tiri, yang melakukan kesilapan, ataupun jenayah, konsep integriti Melayu menuntut supaya mereka tidak dilindungi.

Bahkan, sebagai rujukan pada perenggan di atas, meski semangat feudalisme orang Melayu sering dianggap tepu, pencarian kepada prinsip keadilan tetap berlaku.

Seperti dinyatakan sebelumnya, Hassan Ahmad meletakkan konsep Melayu-Islam tentang keadilan, dan dalam hal ini integriti secara besarnya dengan sandaran wasiat Sultan Alauddin kepada anakandanya.

Wasiat Sultan Alauddin itu adalah berteraskan tiga prinsip iaitu pertama, pengiktirafan hak manusia; kedua, kebebasan dari perhambaan sesama manusia dan perlindungan maruah mereka; ketiga, permuafakatan atau solidariti dan dialog yang menjadi asas demokrasi moden.

Ini merupakan kriteria yang digariskan dalam konsep integriti Melayu. Bahawa rasuah, penyelewengan, adalah sesuatu yang nista. Sementara kebenaran dan keadilan adalah belahan kewibawaan, mutu keunggulan seseorang yang berada di tingkat atas.

>> Komentar bebas Faisal Tehrani, nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia I 30 November 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *