Permohonan Zamihan telah memaksa Bilal Philips letak deposit didengar 19 Januari ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Januari untuk mendengar permohonan Zamihan Mat Zin memaksa penceramah Islam warga Kanada meletakkan wang di mahkamah sebagai sekuriti untuk kos dalam satu kes saman fitnah.

Menurut FMT, Peguam Meor Amir Meo Omar Baki yang tampil bagi pihak Abu Ameenah Bilal Philips berkata, tarikh tentatif itu ditetapkan kerana kedua-dua pihak masih berunding mengenai jumlah wang pendahuluan sebelum perbicaraan bermula.

“Pendengaran (mengenai sekuriti untuk kos) tidak akan diadakan jika defendan (Zamihan) bersetuju dengan cadangan kami,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Tuntutan seperti itu dibuat apabila plaintif seorang warga asing dan defendan tidak boleh mendapatkan kos jika saman dibuang.

Pada September, Philips memfailkan saman terhadap Zamihan kerana melabel beliau “penyokong terorisme antarabangsa” di Facebook.

Dalam pernyataan tuntutannya, Philips berkata Zamihan memuatnak catatan sejak November tahun lepas, yang memaparkan gambar beliau dan label mengatakan beliau penyokong terorisme antarabangsa.

Philips berkata perkataan yang digunakan dalam gambaran itu adalah tidak benar, fitnah dan tiidak berasas, kerana beliau mempromosikan keamanan dan menolak terorisme yang dilakukan atas nama Islam.

Philips berkata dakwaan Zamihan itu membayangkan beliau terlibat dalam terorisme dan keganasan, dan syarahannya direka untuk mencapai matlamat itu.

Philips berkata ada 119 perkongsian catatan itu di Facebook apabila saman difailkan dan Zamihan ada membuat kenyataan lanjut dalam muat naik asal.

Penceramah terkenal itu, yang memeluk Islam pada 1970-an dan termasuk dalam senarai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia tahun ini, menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Zamihan semasa membela dirinya berkata kenyataan tentang penglibatan Philips dalam aktiviti berkaitan pengganas diambil daripada laporan berita di National Post dan The Guardian, serta polis.

Zamihan mendakwa plaintif dilarang memasuki beberapa negara seperti Jerman, United Kingdom, Denmark dan Kenya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *