Parti mana jadi pilihan, andainya HARAPAN dan PAS gagal mencapai muafakat “satu lawan satu” PRU14

Ini bukan judul buku baru saya selepas terbitnya Tsunami Cina: Retorik atau realiti? pada tahun 2014, satu kupasan terhadap pola pengundian masyarakat Cina ketika pilihan raya umum ke-13. Namun, analisis terhadap pola pengundian masyarakat Melayu amat penting sebelum berlangsungnya PRU14, supaya kita tidak ditipu retorik sehingga gagal menerima realiti yang terpampang di depan mata.

Elok kita definisikan “tsunami” dalam konteks politik sebelum perbincangan dilanjutkan. Istilah “tsunami politik” digunakan buat kali pertama selepas PRU12 pada 8 Mac 2008. Ia berlaku tanpa dijangka, mencipta sejarah dengan menafikan majoriti dua pertiga BN, di samping lima kerajaan negeri jatuh ke tangan ‘pembangkang’. Dengan 48 peratus undi popular yang diperoleh, pembangkang berjaya mengubah landskap politik tanah air.

Istilah “tsunami” diulangi dalam PRU13 pada 5 Mei 2013, tetapi disasarkan kepada pengundi Cina. Sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat memuncak sehingga ke paras 85 peratus. Fenomena ini diambil kesempatan oleh Umno-BN untuk menyifatkannya sebagai “tsunami Cina”. Label sebegini selari dengan propaganda perkauman bahawa “pembangkang Cina bangkit menentang kerajaan Melayu”.

Berbalik kepada soalan, gelombang sebesar mana yang memenuhi takrifan “tsunami”? Apabila “tsunami Melayu” diperkatakan, apakah ia bermaksud kita bakal menyaksikan 85 peratus pengundi Melayu bangkit menentang Umno-BN? Atau ia sudah memadai seandainya lebih 50 peratus pengundi Melayu memangkah untuk menolak Umno-BN?

PRU10 pada 1999

Apa kata kita bandingkan suasana sekarang dengan PRU10 pada tahun 1999? PRU10 dipilih kerana ia menyaksikan kemarahan masyarakat Melayu terhadap Umno (atau PM ketika itu, Dr Mahathir Mohamad) pada kemuncaknya dalam sejarah. Sama ada pola pengundian menunjukkan lebih 50 peratus Melayu mengundi Barisan Alternatif (pembangkang) atau sebaliknya, kekal dipertikaikan – kerana polanya berbeza dengan ketara khususnya jikalau dibandingkan antara pantai Timur dengan selatan Semenanjung, iaitu negeri Johor.

Tetapi PRU10 mencipta sejarah, kerusi parlimen yang diperoleh PAS melonjak dari tujuh (PRU9) kepada 27, di samping memerintah di negeri Kelantan dan Terengganu.

Ia berlaku pada zaman Reformasi, selepas Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2 September 1998. Masyarakat Melayu terus berkocak dan bergolak. Untuk seketika, demonstrasi jalanan berlaku hampir setiap hujung minggu di pusat bandar Kuala Lumpur, sebagai tanda protes terhadap kezaliman yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim. Rakyat bertembung dengan gas pemedih mata dan meriam air berkimia di jalan raya. Namun, istilah “takut” dan “letih” tiada dalam kamus gerakan ini.

Mahasiswa-mahasiswi dalam menara gading tidak ketinggalan untuk melibatkan diri dalam gelombang zaman. Malah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan oleh penguasa untuk mematahkan kebangkitan gerakan siswa. Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad menerbitkan buku kontroversi, Shit, menghangatkan lagi perbincangan. Teater dipentaskan, sajak ditulis dan dideklamasi – untuk menyindir dan mengkritik sang penguasa. Politik dicabar dengan karya seni budaya.

Malah televisyen diludah ketika Buletin TV3 ditayangkan. Kelarisan akhbar arus perdana menjunam serendah-rendah darjat dan kredibilitinya. Media alternatif diarusperdanakan sebaliknya. Jualan akhbar Harakah melonjak ke paras 380,000 naskhah, malah akhbar mingguan alternatif seperti Tamadun, Detik, Eksklusif dan sebagainya, tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kedahagaan rakyat terhadap maklumat begitu terserlah.

Suasana politik kini

Namun, bagaimana pula dengan suasana politik tanah air hari ini? Anwar Ibrahim masih dipenjara, menjalani pembedahan, yang ironinya berita ini hanya ditularkan selepas lawatan Perdana Menteri, Najib Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi. GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan kenaikan harga minyak tetap membebankan rakyat seluruh negara.

Tetapi rakyat sekadar berpusu-pusu ke stesen minyak setiap petang Rabu, dan bukannya turun ke jalan raya pada setiap hujung minggu. Jika pun ada anak muda dari parti pembangkang turun berkhemah di luar parlimen sebagai tanda protes, ia gagal mencuri perhatian, malah sehiris simpati daripada orang umum.

Apakah siswa-siswi masih bergerak pada zaman ini? Nampaknya pilihan raya kampus sudah memadai untuk menumpaskan siswa-siswi yang tidak sehaluan dengan bahagian hal ehwal pelajar dalam universiti. Tanpa segan-silu satu masyarakat menyandarkan harapan pada sosok Pak Samad (A Samad Said, sasterawan negara) yang berusia 82 tahun untuk menusuk penguasa dengan penanya. Malah kreativiti yang seharusnya ada pada anak muda dan seniman untuk melawan kezaliman penguasa, kini dimonopoli watak seperti Rani Kulup dan Jamal Yunos untuk mengaburi pandangan rakyat.

Semua angka jualan lidah parti pembangkang jatuh merudum, malah ada parti yang menggadaikan aset untuk menampung kerugian akhbarnya. Sesungguhnya teknologi maklumat telah mengubah dunia media cetak, dengan aplikasi telefon pintar seperti Whatsapp, media sosial seperti Facebook, lambakan portal berita dan sebagainya, tetapi sejauh manakah kesahihan maklumat yang disebarkan? Bukankah kandungan berita sensasi sedang melambak, sehingga mengalih tumpuan massa dari politik yang memberi kesan terhadap kehidupannya?

Demikianlah suasana dan senarionya, jikalau diperhatikan dari luar. Mungkin kita teruja sekali-sekala apabila penduduk Felda kelihatan tampil menghadiri ceramah Dr Mahathir Mohamad, tetapi sukar untuk kita merasai denyutan nadi yang rancak dalam masyarakat Melayu keseluruhannya. Jikalau PRU10 menyaksikan bagaimana 680,000 pengundi berdaftar marah kerana hak undi mereka dinafikan pada saat-saat terakhir, kini terdapat 3.8 juta pengundi yang layak tetapi masih tidak mendaftarkan diri.

PAS atau Pakatan Harapan?

Andaikan pengamatan di atas tersasar dari realiti, dan ketidakpuasan pengundi terhadap Umno-BN sememangnya sahih – hasil kaji selidik menunjukkan populariti Najib Razak selaku perdana menteri berada di bawah paras 50 peratus. Persoalannya, ke manakah undi Melayu dicurahkan?

Jangan sesekali persoalan ini dielakkan, kerana kita berdepan dengan senario PAS sebagai parti pembangkang tradisional, tidak menyertai Pakatan Harapan. Gerak-geri pemimpin tertinggi PAS sememangnya menunjukkan petanda parti ini semakin mendampingi Umno – dari kaca mata umum, tetapi ia kekal “pembangkang” yang berkecuali antara Umno-BN dengan HARAPAN – dari kaca mata penyokong tegarnya.

Soalnya, jika pun Tsunami Melayu bakal mengombak, parti mana yang dipangkah, seandainya HARAPAN dan PAS gagal mencapai muafakat “satu lawan satu” pada saat-saat akhir? Apakah HARAPAN begitu yakin bahawa pengundi Melayu bersamanya, sedangkan himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang diadakan pada 14 Oktober 2017, gagal menyaingi lautan manusia Fastaqim 2.0 anjuran PAS di Kuala Terengganu, dua minggu sebelumnya? Apakah masyarakat Melayu boleh diyakinkan bahawa “PAS itu hanya spoiler (atau pengacau) untuk memecahbelahkan undi pembangkang”, setelah dibandingkan kehadiran penyokong yang dikerah kedua-dua PAS dan HARAPAN?

Penglibatan massa

Akhir kata, izinkan saya berkongsi intipati dalam buku Tsunami Cina. Hakikatnya, ledakan sentimen masyarakat Cina pada 5 Mei 2013 tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya gabungan hasil usaha daripada pelbagai pihak yang mendahagakan perubahan. Ia memerlukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), media independen, opinion leader, anak muda, wanita dan lain-lain, untuk membentuk arus perubahan yang deras.

Malah, ledakan ini tidak tercetus hanya dengan satu isu semata-mata. Reformasi 1998 misalnya, tidak akan bertahan lama seandainya ia hanya berkisar pada mata lebam Anwar Ibrahim. Kejadian ini membuka mata masyarakat massa terhadap ketidakadilan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kroni dan nepotisme yang berleluasa dalam negara. Begitu juga dengan “Tsunami Cina”, ia tidak berlaku sekadar dengan pendedahan skandal rasuah, tetapi komitmen untuk merombak sistem negara dan menjanjikan perubahan pada masa depan.

Jikalau dibandingkan dengan senario PRU10 dan PRU13, apakah PRU14 boleh menyaksikan “Tsunami Melayu”, hanya dengan pendedahan satu skandal bernama 1MDB? Bukankah lebih elemen diperlukan untuk menjana momentum yang memadai agar kerajaan Umno-BN boleh ditumbangkan? Itu pun belum lagi mengambil kira pergolakan dalam masyarakat Cina, India dan orang asal, yang sudah tentu mengalami perubahan selepas PRU13.

Betapa saya berharap agar pengamatan saya di atas dibuktikan salah. Tetapi jikalau ada benarnya, diharapkan ada usaha untuk memperbaikinya sebelum Julai 2018, menurut isteri perdana menteri.

>> Komentar bebas LIM HONG SIANG, bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti? I 30 November 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *