MP AMANAH persoal kenapa Putrajaya tak percaya Zamihan mengenai Arab Saudi?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin hari ini mempersoalkan kenyataan bercanggah kerajaan mengenai kemampuan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Zamihan yang dikatakan pakar memulihkan militan IS, namun Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Johari Baharom pula merendahkan peranan penceramah itu.

“Apabila saya mempersoalkan tentang sesuaikah Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di mana kerajaan memberi tanah berpuluh ekar di Putrajaya, Johari menolak soalan saya sebagai tidak penting.

“Apabila saya berkata pegawai Jakim (Zamihan) yang merupakan pakar pemulihan pengganas menganggap pembinaan KSCIP satu keputusan tidak bijak, Johari bertanya adakah saya lebih mempercayai seorang pegawai berbanding timbalan menteri?

“Memandangkan Zahid sendiri memuji Zamihan sebagai aset utama untuk memerangi keganasan, saya percaya Zamihan mungkin mengetahui sesuatu maklumat tentang peranan Arab Saudi dengan aktiviti keganasan antarabangsa.

“Kenapa timbalan menteri ingin menutup isu ini?” soalnya seperti dilapor FMT.

Zamihan dilapor mempersoalkan pembinaan KSCIP lalu dikritik Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata penceramah itu menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Zamihan patut lebih-hati apabila membuat pernyataan awam, dan peranannya memulihkan tahanan aktiviti terorisme akan dipertimbangkan semula jika beliau terus memberikan masalah kepada kementerian.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin juga mempersoalkan peranan tentera di Timur Tengah dan tidak memberi tumpuan kepada Malaysia.

“Kita sering mendengar peruntukan kewangan minyak yang tidak mencukupi untuk rondaan bot penguatkuasa di perairan kita tetapi tentera kita boleh pula bergiat jauh di Timur Tengah.

“Kita berbudi kepada Arab Saudi yang sudah kaya tetapi mengabaikan keselamatan negara sendiri yang berdepan pencerobohan dari China dan Vietnam. Soalan saya mengenai perbelanjaan tentera kita di Arab Saudi juga tidak dijawab.

“Kenapa kita perlu bersolidariti dengan Arab Saudi sedangkan merekalah yang ‘menceroboh’ Yaman, Syria dan Qatar?” soalnya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *