Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 13,539 orang pagi ini babitkan 9 jajahan

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan bertambah kepada 13,539 orang setakat 9.00 pagi ini berbanding 12,734 pada 9.00 malam tadi, 29 November 2017.

Menurut Bernama, kesemua mangsa ditempatkan di 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 9 jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 8,630 orang (3,588 keluarga) yang dipindahkan ke 44 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,476 mangsa (380 keluarga) yang dipindahkan ke 13 PPS.

Sebanyak 8 PPS dibuka di Pasir Puteh menempatkan 821 mangsa daripada 245 keluarga manakala 711 mangsa (210 keluarga) ditempatkan di 15 PPS di Tanah Merah serta 885 mangsa (284 keluarga) ditempatkan di 4 PPS di Tumpat.

Di Machang pula seramai 386 mangsa daripada 112 keluarga dipindahkan ke 7 PPS, 308 mangsa (73 keluarga) ditempatkan di 2 PPS di Bachok, 282 mangsa (74 keluarga) menghuni 6 PPS di Kuala Krai dan 40 mangsa daripada 9 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Jeli.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas surut kepada 10.40 meter pada 8 pagi ini, berbanding 10.55 meter pada 9.00 malam tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat meningkat kepada 3.55m berbanding 3.47m tempoh sama malam tadi. Paras bahaya ialah 2.5m.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga pagi ini manakala cuaca dilaporkan mendung di negeri ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *