Ketua Pembangkang kecam rancangan tindakan undang-undang terhadap Padi Rescue

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa kerajaan menghentikan rancangan mengambil tindakan undang-undang terhadap gabungan NGO mewakili petani padi, Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata 83 Ahli Parlimen pembangkang, termasuk 8 daripada PAS, 1 PSM dan 1 bebas, menandatangani petisyen menyeru siasatan terbuka ke atas prestasi dan peranan Syarikat Padi dan Beras Nasional Berhad (Bernas).

“Kami menyeru tindakan segera diambil terhadap Bernas dan menyeru hak sesiapa sahaja untuk meneliti dan mempersoalkan prestasi Bernas, yang ditubuhkan untuk mengurus industri beras negara sejak 1994, diiktiraf.

“Kami mengutuk tindakan Bernas menakut-nakuti dan menutup mulut Padi Rescue dengan ancaman tindakan undang-undang.

“Kami berpendirian pengeluaran beras, iaitu makanan asas yang penting, tidak patut dimonopoli, diambil untung atau dikawal oleh mana-mana individu atau syarikat,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Wan Azizah menggesa kerajaan mengambil tindakan segera menghalang Bernas mengambil tindakan undang-undang terhadap Padi Rescue berhubung memorandum yang diserahkan kepada perdana menteri pada 20 Oktober 2017.

“Kami menyeru Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diwujudkan semula untuk mengembalikan mandat yang diberi kepada Bernas, yang akan tamat pada 2021, bagi melindungi industri beras negara.”

Turut hadir di sidang media itu ialah Ahli Parlimen Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) dan Dr Michael Jeyakumar (PSM-Sungai Siput).

Jurucakap Padi Rescue Fitri Amir dilaporkan berkata KPN lebih cekap berbanding Bernas dan petani padi berdeepan kos tinggi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *