Desak Menteri Wilayah letak jawatan, laporan Audit dedah wujud kepincangan dalam Projek Rumahwip

Rakyat Malaysia kini dihantui masalah yang cukup serius berkaitan pemilikan rumah. Isu kos harga rumah ‘mampu milik’ yang tinggi di Malaysia berbanding gaji rakyat amat menyusahkan, khususnya bagi kelompok B40.

Seolah-olah projek perumahan hanya terpampang sebagai rumah ‘mampu lihat’, dan bukannya mampu milik.

Dengan kos sara hidup yang meningkat, mana mungkin pendapatan isi rumah bulanan penengah golongan B40 berjumlah RM 3,000, memiliki kediaman yang rata-ratanya berharga RM 300,000 ke atas? Tambahan lagi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Yang lebih memburukkan keadaan, projek rumah ‘mampu milik’ tidak diurus dengan berkesan. Buktinya, Laporan Ketua Audit Negara 2016 telah menemukan pelbagai bentuk kepincangan besar dalam projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Pemilihan pemaju yang tidak berkelayakan, ketiadaan SOP penjualan tanah yang nyata dan pembayaran nilai hartanah yang lebih rendah daripada nilai sebenar, wajib memaksa Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Hj. Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz, yang masing-masing bergaji lima angka, untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan di bawah, sebelum Menteri Wilayah sendiri meletakkan jawatan.

1. Apa alasan di sebalik lantikan Virtue Court Sdn. Bhd. (VCSB), yang terpilih sebagai pemaju projek RUMAWIP tanpa mengemukakan sebarang profil atau latar belakang pengalaman kerja syarikat?

2. Bagaimana pula pemaju Gagasan Matrik Sdn. Bhd. (GMSB), anak syarikat VCSB, yang mempunyai modal berbayar sejumlah hanya RM 100 dapat dilantik sebagai pemaju projek di Pantai Dalam?

3. Masalah ketiadaan SOP penjualan dan pembelian hartanah yang berkesan turut menampakkan kesan buruk pada DBKL. Mengapa tiada surat tawaran baru dikeluarkan oleh DBKL kepada GMSB walaupun perjanjian jual beli telah selesai pada November 2011 bagi beberapa lot di Pantai Dalam (Lot PT7 dan sebahagian Lot PT8, Jalan Pantai Dalam).

Saya juga mahu persoalkan kegagalan DBKL untuk menyerahkan pemilikan kosong hartanah setelah bayaran dibuat GMSB pada tahun 2014, apabila didapati wujudnya kuil dan stor / pondok haram di Lot 7, Jalan Pantai Dalam.

Saya turut gelisah apabila melihat perbezaan harga jualan tanah DBKL kepada satu lagi pemaju, Garuda Saerah Sdn. Bhd. (GSSB) dengan anggaran nilai sebenar.
Menurut laporan Ketua Audit Negara 2016, harga jualan tanah 42.42 ekar di Tasik Desa, Jalan Klang Lama bagi projek Residensi Desa Satumas), adalah RM 24.07 juta jauh lebih rendah daripada nilaian Kementerian Kewangan (RM 517.07 juta).

Persoalan saya, jika ini situasi sedia ada di DBKL, apakah akan ada tanah atau aset yang dijual di bawah harga pasaran? Mengapa sengaja keuntungan buat DBKL dikesampingkan untuk memenuhi poket syarikat-syarikat terpilih?

Peliknya, dana DBKL yang tidak mencukupi pula dijadikan alasan untuk menaikkan cukai pintu pada tahun 2014, sewaktu Datuk Seri Ahmad Phesal Talib bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur. Keuntungan DBKL yang ada dilabel ‘deposit selamat’, tapi rakyat dimangsakan.

Jangan dilupa juga pada pendakwaan rasuah sebelumnya ke atas mantan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL yang dituduh menerima suapan melibatkan aset bernilai RM 4.4 juta.

Maka, Menteri Wilayah Persekutuan digesa agar mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Garis panduan berhubung kaedah pemilihan pemaju dan pemantauan kerja kerja perlu diutamakan, dan mengikut piawaian yang tertentu, bukan dipandu hubungan pertalian dan kepentingan peribadi.

Kegagalan yang dibuktikan menerusi laporan audit, termasuk siri pendakwaan rasuah dan pengenalan dasar yang menekan rakyat wajib dipertanggungjawabkan kepada Menteri.

Kegagalan sebegini sewajibnya juga memberi kesan kepada penggajian Dato Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah – kerana KPI mereka sendiri gagal dipenuhi.

Permasalahan yang timbul kian menghakis kepercayaan para pemaju dan masyarakat Kuala Lumpur secara amnya, terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL.
Kerajaan kelihatan menekan rakyat dengan urusan denda dan saman, sedangkan kepincangan sendiri masih tak berkesudahan.

>> Kenyataan Media YB Nurul Izzah Anwar, MP Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR I 30 November 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *