Undi tak setuju bajet KPDNKK semuanya 51 orang, bukan 52, kata Pandikar

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat berkata jumlah Ahli Parlimen yang tidak menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam undi belah bahagi 20 November lalu seramai 51 orang dan bukan 52 yang didakwa pembangkang.

Ini kerana ketua pengundi Blok E tempat duduk wakil rakyat, G Manivannan (PKR-Kapar), gagal menandakan undian Julian Tan Kok Peng (DAP-Stampin).

“Beliau juga telah mengesahkan jumlah tersebut dengan menandatangani senarai undi belah bahagian bagi blok tersebut,” kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mengusulkan speaker mempertimbangkan semula jumlah undi Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU Perbekalan 2018 untuk KPDNKK.

Gobind turut mendakwa Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah melakukan kesalahan kerana mendekati meja setiausaha Dewan Rakyat semasa proses pengundian.

Menjawab dakwaan itu, Pandikar memberitahu Dewan Rakyat bahawa Dr Mohd Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) juga melakukan perkara yang sama, namun beliau memutuskan tindakan mereka itu tidak menjejaskan proses pengundian.

Mengenai pertikaian wakil rakyat yang lewat masuk ke Dewan Rakyat tetapi dibenar menyertai proses pengundian, Pandikar memutuskan Peraturan Mesyuarat 47(3) membenarkan tiap-tiap ahli hadir untuk mengundi.

RUU Perbekalan 2018 untuk KPDNKK diluluskan dalam suasana kecoh di Dewan Rakyat, dengan perbezaan hanya 1 undi, 52 undi menyokong, 51 undi tidak menyokong dan 3 tidak mengundi.

Keputusan yang diumumkan Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee itu mengundang kemarahan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mendakwa berlaku penipuan semasa pengundian.

Walaupun deringan loceng yang berbunyi selama 2 minit sudah tamat, masih ada Ahli Parlimen BN berlari masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *