Tak jejas persiapan PRU14 walaupun pendaftaran Pakatan Harapan belum dilulus JPPM

SHAH ALAM: Masalah dalaman PPBM yang menjadi antara punca pendaftaran Pakatan Harapan (PH) belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), tidak akan menjejaskan persiapan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Azmin Ali.

Naib presiden PH itu berkata, atas dasar bersama, PKR, Amanah dan DAP akan terus bersama PPBM dalam merangka strategi dan mencari jalan penyelesaian.

“Kita sudah ambil keputusan ini, iaitu satu muafakat politik. Atas dasar bersama dan kerangka perjuangan bersama, kita akan teruskan.

“Soal pembentukan muafakat politik bukan ditentukan individu atau penganalisa kerana yang penting kepimpinan ahli politik itu mesti bersedia melakukan reformasi,” katanya selepas melancarkan Smart Desa Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir yang berkata, masalah PPBM gagal mematuhi perlembagaan parti, mengheret gabungan pembangkang itu dalam krisis dan bakal menjejaskan prestasi mereka pada PRU14.

Katanya, PH perlu menyingkirkan PPBM jika mahu melihat hasrat menjadikan PH sebagai gabungan parti yang sah menjadi realiti.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti dan kumpulan yang menerima agenda reformasi.

Pada 24 Julai lalu, PH mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada JPPM secara atas talian, termasuk barisan kepimpinan, logo dan perlembagaannya.
Beberapa hari kemudian, JPPM menasihatkan gabungan itu meminda logonya kerana tidak mempunyai nama penuh, sebaliknya hanya “Harapan”.

Selepas perubahan dilakukan ke atas logo PH, JPPM bagaimanapun belum meluluskan pendaftaran gabungan 4 parti pembangkang itu sehingga kini dengan alasan PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak pendaftaran diluluskan dan DAP pula belum menyerahkan laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 12 November lalu.

PPBM juga didakwa gagal menyelesaikan beberapa masalah berkaitan nama sayap Pemuda dan Wanita parti itu. Pemuda PPBM diberi nama “Armada” manakala Wanita PPBM diberi nama “Srikandi”, tetapi ia tidak diiktiraf JPPM kerana tidak dinyatakan dalam perlembagaan parti.

JPPM juga mempersoalkan mesyuarat jawatankuasa khas PPBM yang tidak melibatkan ahli akar umbi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *