SPRM buat laporan polis selepas dokumen siasatan kes bekas Exco Johor bocor di internet

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis selepas dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam siasatan kes rasuah hartanah melibatkan bekas Exco Johor bocor di Internet.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan.

“Ingin dinyatakan, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diadakan-adakan untuk mengelirukan masyarakat.”

SPRM mengeluarkan kenyataan semalam selepas satu laman web memuat naik “kenyataan” seorang individu dalam siasatan itu yang mengaitkan seorang lagi ahli politik Johor dengan suapan jutaan ringgit untuk menukar status lot perumahan Bumiputera.

Pada April, Exco Datuk Abdul Latif Bandi didakwa atas 33 pertuduhan bersuhabat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.

SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *