Pakatan Harapan Johor desak Khaled jawab isu skandal pengubahan status lot perumahan Bumiputera

JOHOR BHARU: Sehari selepas Adun Senai, Wong Shu Qi dihalau keluar dewan kerana membangkitkan mengenai skandal tanah yang dikaitkan dengan Datuk Khaled Nordin, Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor semalam mendesak Menteri Besar tampil menjelaskan dakwaan itu.

Menurut gabungan pembangkang berkenaan, dakwaan itu adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan menerusi sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal terbabit.

SPRM dilaporkan sedang menyiasat skandal membabitkan pengubahan status lot perumahan Bumiputera yang didakwa dilakukan oleh beberapa pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Johor.

“Pada saat Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran keras kepada Kerajaan Negeri akan ketidakseimbangan pasaran hartanah yang semakin kritkal di Johor, isu melibatkan pengubahan status lot perumahan Bumiputera yang timbul telah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional pimpinan Khaled telah gagal untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” kata HARAPAN Johor dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan tersebut ditandatangi oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Hj Aminulhuda Hassan; Hassan Karim dan Liew Chin Tong serta Pengarah Pilihan Raya, Salahuddin Ayub.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *