Hairan, siapa benarkan ATM sokong misi Saudi di Yaman, soal bekas tentera

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pegawai tentera mempersoalkan penglibatan pegawai tentera Malaysia dalam pakatan negara Arab diketuai Arab Saudi yang kini sedang menyerang Yaman, dan mempersoalkan sama ada pendirian itu sudah diluluskan badan tertinggi angkatan tentera, lapor FMT.

“Pernahkah Jawatankuasa Panglima Panglima (JPP) membincang dan meluluskan aturgerak tentera kita ke Arab Saudi?” soal Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK).

Presiden PPK, Brig Gen (Bersara) Mohamed Arshad Raji, turut mempersoalkan sama ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merestui operasi ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya di Yaman, yang setakat ini mengorbankan orang awam dan menghancurkan kemudahan infrastruktur di negara itu.

Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu Kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Puak Houthi merupakan penganut Islam Syiah Zaidi, aliran yang dianuti hampir separuh penduduk Yaman. Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi.

Laporan PBB pada awal tahun ini menyifatkan serangan yang dilakukan pakatan Arab di Yaman sebagai jenayah perang, dan turut berkata pegawai Malaysia merupakan antara yang terlibat membantu operasi ketenteraan itu.

PBB turut memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-anak.

Media Arab Saudi pernah mengumumkan gabungan 34 negara termasuk Malaysia bagi “melawan keganasan”.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan Malaysia terlibat dalam operasi ketenteraan, sebaliknya mendakwa ia bagi bersiap sedia menyelamatkan rakyat Malaysia.

Malaysia merupakan antara negara yang menyokong kuat pakatan yang direstui pentadbiran Donald Trump dengan alasan melawan keganasan, dalam apa yang dilihat sebagai usaha membendung pengaruh Iran di Timur Tengah.

Arshad berkata sama ada bantuan ketenteraan Malaysia adalah secara langsung atau tidak, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan masih perlu memberi penjelasan mengenai penglibatan Malaysia.

“Adakah keputusan menghantar tentera negara ke Arab Saudi diputuskan oleh kabinet semata-mata? Jika keputusan ini dibuat oleh kabinet, adakah kabinet mempunyai kuasa mutlak untuk mengaturgerak tentera keluar negara untuk menyertai angkatan koalisi yang di pimpin oleh Arab Saudi?” soalnya.

Arshad berkata Kami penyertaaan Malaysia di Arab Saudi adalah “kurang bijak” dan meletakkan rakyat Malaysia dalam keadaan bahaya.

“Tidakkah kerajaan juga sedar bahawa ramai rakyat Malaysia sedang mengikuti pengajian agama di beberapa institusi di Yaman? Sekiranya konflik Arab Saudi dengan Yemen meluas ke lain-lain kawasan, tidakkah ini akan mengancam keselamatan rakyat kita di Yaman?” soalnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *