Dunia akan musnah jika ahli politik menjadikan agama sebagai senjata kata Setiausaha Agung Nahdatul Ulama

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Nahdatul Ulama (NU), badan Islam terbesar dan berpengaruh di Indonesia bimbang dengan tindakan ahli politik menggunakan agama sebagai senjata untuk memenangi pilihan raya.

Setiausaha Agung NU, Yahya Cholil Staquf berkata, agama tidak seharusnya menjadi punca berlaku konflik dan jika masyarakat dunia tidak sedar dan menghentikannya, ia akan menjurus kepada pembunuhan etnik beramai-ramai.

“Jangan sampai Islam digunakan untuk memicu konflik. Islam perlu berperanan memberi sumbangan kepada kebaikan peradaban.

“Ada ahli politik menggunakan agama sebagai senjata politik dan mereka berhasil…mereka bukan hanya dari kalangan Muslim, tetapi agama lain juga ada.

“Di India, ahli politik Hindu gunakan agama Hindu, di Eropah mereka gunakan agama Kristian sebagai senjata. Tindakan ini kalau tidak dihentikan sangat berbahaya.

“Kuncinya ialah meningkatkan kesedaran. Apa yang kita pertaruhkan adalah keselamatan seluruh peradaban. Adakah kita mahu peradaban ini selamat atau cepat kiamat?” soalnya pada persidangan antarabangsa anjuran Istanbul Network di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) semalam.

Beliau berkata, taktik menggunakan agama untuk memenangi pilihan raya akan menjadi ikutan ahli politik di negara lain.

“Kita perlukan penyatuan global untuk menangani masalah ini. Ini bukan masalah Malaysia dan Indonesia sahaja. Ini masalah peradaban kita, bagaimana Muslim ingin Islam berfungsi di tengah peradaban hari ini,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *