Dr Mujahid persoal pembentangan Iksim label golongan liberal berbahaya

KUALA LUMPUR: Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) mempersoalkan satu pembentangan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) yang melabel golongan liberal sebagai berbahaya kepada negara.

Pemimpin Amanah itu memberitahu Dewan Rakyat, pembentangan Iksim turut memberi perhatian kepada 2 pendekatan yang digunakan golongan liberal, iaitu pendekatan “maqasid syariah” (tujuan pensyariatan) dan “rahmatan lil ‘alamin” (rahmat kepada sekalian alam).

“Saya kira ini menimbulkan berbagai keraguan kerana ‘maqasid syariah’ ini Perdana Menteri sendiri sebut. Kenapa dikategorikan ini sebagai liberal? Begitu juga Islam ‘rahmatan lil ‘alamin’.

“Kenapa dalam jelajah mereka yang dibentang oleh Iksim ini dengan bantuan dan sokongan pihak agama menganggap ini sebagai liberal dan dikategorikan sebagai mengancam,” soalnya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mujahid mempertikaikan sejauh manakah ancaman “maqasid syariah” dan “rahmatan lil ‘alamin” kepada negara.

Beliau turut meminta KDN menjelaskan kertas kerja Ketua Pegawai Eksekutif Iksim Prof Datuk Mahamad Naser Disa, “Evangelism dan Kedaulatan Islam”.

“Saya ingin tanya kepada menteri apakah ancaman yang disebut sebagai Radical Evangelism Christian State (RECS) adalah satu kebenaran yang betul-betul mengancam negara?”

“Kerana, kalau mengikut apa yang dibentangkan dalam ‘slaid’ ini, dia menyebut negara ini akan menjadi negara Kristian, malah, dia sebut di sini parti-parti politik tertentu. Dia sebut DAP,” katanya sambil turut bertanyakan kepada Ahli Parlimen DAP adakah mahu menjadikan Malaysia negara Kristian.

Mujahid berkata pembentangan itu dibuat bukan di program parti tetapi program anjuran kerajaan.

Mujahid pernah menyelar Iksim kerana melabel beberapa ahli politik tempatan termasuk dirinya sebagai penyokong fahaman liberalisme, pluralisme, golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) dalam program Transformasi Pemikiran Islam (Trapi).

Program yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu menyatakan liberalisme sebagai elemen yang akan menghakis agenda Islam serta memusnahkan kedaulatan negara.”

Institut pemikir kerajaan itu ditubuhkan dengan kelulusan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama Islam negeri, dabn diperbadankan dengan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *