Amanah tak anggap Zakir Naik terlibat dengan keganasan walaupun banyak pihak tidak senang

SHAH ALAM: Amanah tidak menganggap Dr Zakir Naik menyokong atau terbabit dalam aktiviti keganasan, walaupun ada umat Islam yang tidak senang dengan pendekatan “berterus terang” dan “tidak berlapik” penceramah kontroversi dari India itu.

“Pertuduhan menyokong atau mendorong keganasan mesti dibuktikan berasaskan kata-kata dan tindakan yang jelas berorientasikan kegiatan keganasan dan bukan sekadar kata-kata yang tidak disenangi atau menyakitkan hati,” tulis Khalid Samad dalam blognya.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, rakyat Palestin dan Rohingya juga dituduh “pengganas”, tetapi dunia tahu mereka sebenarnya mangsa keganasan Yahudi Zionis dan golongan pelampau Myanmar.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, dakwaan pihak berkuasa India ke atas Zakir mempunyai agenda politik dalam usaha memperkukuhkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi atas semangat “nasionalis Hindu”.

Pada 7 November lalu, wakil rakyat DAP, M Kulasegaran mempertikaikan tindakan Putrajaya “menyimpan” Zakir yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu, selepas Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) dilapor menyerahkan laporan siasatan terperinci dan memohon kebenaran Kementerian Dalam Negeri India untuk mendakwa penceramah kontroversi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun memberi jaminan Putrajaya akan menghantar Zakir yang didakwa mengetuai “persatuan haram” dan menghasut belia melakukan keganasan serta menyertai kumpulan pengganas global seperti IS, pulang ke India jika dipohon pihak berkuasa negara itu.

Penceramah berusia 52 tahun itu dilaporkan melantik sebuah firma guaman di Malaysia, selepas kerajaan India dilaporkan dalam peringkat akhir mengekstradisi Zakir ke negara asalnya untuk siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang dan keganasan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *