Wakil rakyat AMANAH mencelah, tapi Speakar tegur jangan kaitkan isu agama dengan politik

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam menegur Ahli Parlimen Shah Alam kerana mengganggu aturan mesyuarat dan kerap mencelah semasa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan jawapan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Semasa sesi yang sedang membincangkan isu agama dan perkembangan kumpulan atheis dalam negara, Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) mencelah membangkitkan beberapa perkara berupa dakwaan mengaitkan agama dan politik.

Tindakan Khalid yang kerap mencelah dan tidak memberi peluang kepada Asyraf Wajdi untuk terus menjawab mengundang kemarahan Pandikar, seterusnya memberi amaran untuk mengarahkan Khalid keluar dewan sekiranya masih terus berdegil.

“Saya yang menimbang sama ada apa yang dihujah itu melanggar peraturan atau tidak. YB Shah Alam tadi cakap, saya teliti, tetapi dihujung hujah dikaitkan politik daripada agama.

“Apabila menteri beri jawapan, bermakna hujah yang dipolitikkan terpaksa dijawab dengan politik,” kata Pandikar.

Asyraf kemudian berkata beliau terpaksa menjawab secara politik kerana tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan oleh pembangkang adalah tidak berasas.

“Walaupun Islam adalah Agama Persekutuan namun Islam agama yang adil dan mengiktiraf kebersamaan, selain meraikan kepelbagaian agama di negara ini. Tiada dalam dunia mana-mana agama yang ada patung Buddha terbesar di Asia, patung Hindu terbesar di Asia tetapi kita tidak pernah mengalami pemberontakan dan ketidakpuasan hati kerana Islam yang dibawa Barisan Nasional tidak pernah mendiskriminasi sesiapa,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab pertanyaan Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) mengenai perkembangan Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur, Asyraf Wajdi berkata ideologi itu adalah bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Jelasnya, Perlembagaan juga menyatakan kerajaan boleh mengadakan apa-apa peruntukan undang-undang untuk menyekat doktrin atau pemahaman yang menggangu gugat agama Islam.

“Bagi bukan Islam, ia bercanggah dengan undang-undang ketenteraman awam dan kemoralan dan sekiranya ada pihak cuba sebar ideologi seperti Atheis yang cuba menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil di bawah Akta Hasutan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *