Apa yang sudah terjadi dengan pilihan Skim ‘Rent-to-Own’ (RTO) bagi projek PR1MA?

Isu perumahan merupakan satu isu yang sangat penting bagi rakyat Malaysia terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Masalah utama yang sering diperkatakan dahulu adalah tentang harga rumah yang terlalu tinggi. Sehinggakan mereka yang berhasrat membeli tidak mampu untuk membayar duit pendahuluan. Lalu digubal dasar untuk memberikan 100% pembiayaan dan subsidi untuk kos pembinaan rumah.

Kemudian timbul pula isu tidak cukup perumahan mampu milik di pasaran untuk dibeli. Digubal pula dasar untuk membina lebih banyak rumah mampu milik melalui projek seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). PR1MA bertujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang sekurang-kurang 20% lebih murah dari harga pasaran.

Terbaru rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan laporan bahawa daripada 141,661 unit rumah yang dibina oleh PR1MA, kurang dari 10% ataupun hanya 11,944 unit yang berjaya dijual. Walaupun ramai yang mendaftar untuk membeli rumah PR1MA, ramai yang menarik diri ketika peringkat mendapatkan pembiayaan kerana pelbagai masalah yang melibatkan kelayakan untuk meminjam.

Pelbagai inisiatif juga diperkenalkan bagi menyelesaikan masalah ini termasuklah meningkatkan kelayakan pendapatan pembeli dari RM2,500-RM7,500 kepada RM2,500-RM15,000 dan mewujudkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF).

Walau bagaimanapun, hasilnya masih kurang memberangsangkan. Ini menunjukkan bahawa masih ramai yang belum mampu untuk membeli rumah walaupun pelbagai inisiatif yang diwujudkan dari sudut permintaan dan penawaran.

Di mana skim RTO?

Satu persoalan yang perlu diajukan kepada PR1MA ialah, apa yang sudah terjadi dengan pilihan Skim ‘Rent-to-Own’ (RTO) bagi projek PR1MA? Sepatutnya jika permohonan pinjaman pembeli ditolak oleh pihak bank, pembeli boleh dipertimbangkan untuk menyertai Skim RTO. Mengikut skim ini, pemohon akan dapat menyewa rumah PR1MA sehingga 10 tahun, sebelum memutuskan untuk membelinya pada akhir tahun kelima dan kesepuluh, pada harga yang telah ditetapkan.

Melalui pemeriksaan di laman web PR1MA, Skim RTO untuk PR1MA masih belum dibuka sehingga kini walaupun telah diumumkan pada 2015. Skim ini merupakan satu alternatif yang baik bagi pembeli yang mempunyai kesukaran mendapatkan pinjaman. Di saat keadaan semakin menghimpit, mengapa Skim RTO masih lagi tidak dilaksanakan?

Tubuhkan badan pembangunan perumahan

Mengikut “Housing Watch’ Bank Negara, isi rumah berpendapatan RM6,000 mampu untuk memiliki rumah berharga RM354,111. Namun realiti yang dilihat amat berbeza. Saya berpandangan takrif ‘mampu’ ini perlu dibuat kajian baru dan bukan sekadar berpandukan kepada purata dan median terhadap seluruh perangkaan isi rumah di Malaysia. Harga rumah PR1MA perlu perlu diselaraskan dengan kadar penggunaan kehidupan dan tahap hutang bagi golongan sasaran tidak kira B40 atau M40.

Sehingga kini sebenarnya, kita mempunyai pelbagai takrifan tentang perumahan mampu milik terutamanya dari segi harga. Pelbagai agensi yang menyelia isu perumahan mampu milik ini harus digabungkan menjadi satu badan berkuasa tunggal di peringkat persekutuan, dengan peranan dan kuasa untuk bekerjasama dengan semua agensi termasuk kerajaan negeri.

Contoh yang ada di negara-negara lain adalah seperti Lembaga Pembangunan Perumahan di Singapura atau Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar di Amerika Syarikat. Entiti tunggal sedemikian bertujuan mengawasi dan menyelaraskan inisiatif perumahan yang mampu milik untuk negara akan menggalakkan perancangan yang lebih strategik dan pengurusan yang lebih bersepadu di peringkat nasional.

Melihat kepada lambakan rumah yang tidak berjaya dijual oleh PR1MA, ia juga membangkitkan satu risiko yang lebih tinggi kepada pasaran perumahan sekarang ini. Mengikut perangkaan Bank Negara, setakat Mac 2017, terdapat 130,690 rumah yang tidak terjual termasuklah 13% yang berharga RM250,000 ke bawah.

Jika PR1MA terus membina rumah saban tahun mengikut perancangan mereka seperti yang ada sekarang, namun tiada pembeli, dikhuatiri ia akan memberi kesan buruk yang besar kepada ekonomi dan kewangan kerajaan. – Roketkini.com

>> Komentar bebas Edry Faizal Yusof, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor dan Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang I 24 November 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *