Silap kira, 52 undi tak sokong RUU Perbekalan KPDNKK, bukan 51 kata MP Sungai Petani

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PKR semalam mendakwa berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pada malam Isnin lalu.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) berkata, hasil semakan beliau mendapati undi menyokong dan menentang RUU itu adalah sama, iaitu 52 undi.

“Setelah kita semak semula, yang menyokong adalah 52 (undi), yang tidak menyokong (juga) adalah 52, bukannya 51 (undi),” katanya selepas sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau memohon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said mempertimbangkan keputusan dibuat rakan sejawatannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, semalam.

“Saya berdiri untuk meminta petua speaker (Ismail), kerana dalam proses pengiraan undi semasa RUU Perbekalan 2018 untuk KPDNKK pada 20 November lalu terdapat khilaf (kesilapan).”

Isnin lalu, RUU itu diluluskan dengan perbezaan 1 undi, iaitu 52 undi menyokong, 51 undi menentang dan 2 ahli Parlimen tidak mengundi.

Kekecohan berlaku selepas Ronald mengumumkan keputusan itu, di mana Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit “tipu” kepada Ronald.

Beberapa wakil rakyat BN didakwa lewat memasuki Dewan tetapi dibenarkan mengundi. Mereka termasuk Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *