Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sudah gesa beku projek mewah sejak 28 tahun lalu

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengkritik kerajaan kerana hanya memperakui masalah perumahan di negara ini yang di ketengahkan mereka sejak 28 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia adalah langkah baik kerajaan akhirnya membekukan pembangunan hartanah mewah bermula 1 November lalu akibat bekalan berlebihan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan Kabinet mengarahkan pembekuan permit untuk projek membina pusat beli-belah, bangunan komersial dan kondominium berharga RM1 juta ke atas.

“CAP memberi amaran mengenai senario ini 28 tahun lalu dalam buku ‘Perumahan untuk Rakyat’. Bagaimanapun, perkara itu tidak diendahkan sehingga sekarang,” katanya sambil menambah beliau berulang kali menekankan masalah itu.

“Masalah utama perumahan ialah sumber pembangunan negara tidak disalurkan untuk keperluan perumahan rakyat, tetapi ke arah pasaran yang boleh membayarnya.”

Mohamed Idris juga kesal dengan masalah memenuhi pembangunan hartanah untuk pasaran mewah semakin meluas.

“Masalah seperti itu semakin berleluasa di seluruh negara, membawa kepada lebihan hartanah mahal tidak digunakan yang tidak mampu dimiliki sebahagian besar populasi Malaysia.

“Contohnya, istilah ‘perumahan mampu milik’ sangat mengelirukan kerana ia boleh berharga sehingga RM400,000 seunit.”

Beliau berkata, situasi di Pulau Pinang mungkin lebih baik kerana kerajaan negeri mengurangkan had kepada RM300,000 di pulau dan RM200,000 untuk Seberang Perai, “tetapi itupun tidak mampu dimiliki kebanyakan orang”.

“Kita perlu mengambil kira kecacatan dasar perumahan yang serius ini membawa kepada lebihan hartanah tidak terjual dan menyebabkan pemaju, bank serta negara berdepan krisis kewangan.”

Beliau kemudian menyeru kerajaan memfokuskan pembinaan rumah untuk orang miskin, sama ada pangsapuri kos rendah atau sewa beli.

“Sia-sia membina ‘perumahan mampu milik’ yang mahal berharga ratusan ribu ringgit kerana selepas membayar bank, nilai unit hartanah itu akan meningkat hampir 2 kali ganda.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *