MP Kulai dakwa kenyataan Bung Mokhtar rendahkan martabat wanita perlu ditarik balik

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa Datuk Bung Moktar Radin memohon maaf dan menarik balik kenyataan seksis yang diucapkannya di Parlimen semalam.

Katanya, ini bukan pertama kali Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengeluarkan kata-kata yang menghina golongan wanita.

“Daripada kenyataan ‘bocor setiap bulan’ pada 2017 hingga ‘wanita memandu perlahan dan berbahaya’ pada 2011.

“Ini adalah bukti bahawa BN gagal mendidik dia, Bung memang sudah tidak boleh diajar lagi,” ujar Nie Ching dalam satu kenyataannya.

Bung semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam berkata kecantikan seseorang tidak ada kaitan dengan penampilannya.

“Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga.

“Kalau pun dia tidak cantik, telanjang pun, siapa tak mahu?” kata pemimpin dari Sabah itu mengulas isu larangan hotel terhadap pekerja kaunter depannya daripada bertudung.

Nie Ching yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata tidak ada gunanya kerajaan mengumumkan 2018 sebagai tahun memperkasakan wanita dan membelanjakan jutaan ringgit bagi program itu jika wujud pemimpin seperti Bung dalam kepimpinan negara.

“Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kelihatan tidak ikhlas jika dia gagal mengambil tindakan terhadap Bung.

“Najib perlu mulakan dengan mengugurkan nama Bung sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang jika benar dia mahu memartabatkan dan melindungi maruah golongan wanita,” ujarnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *