LHDN sewa menara 13 tingkat dengan kadar RM680,000 sebulan ‘sesuai’ kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyewa Menara CDO di Kuantan pada harga RM680,000 sebulan untuk dijadikan pejabatnya adalah sesuai.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu berkata, LHDN menduduki Menara CDO sejak 15 September 2014 secara sewaan pada kadar ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Rasional keputusan menyewa bangunan CDO disebabkan ruang pejabat lama di Kuantan Centre Point yang diduduki sejak 2001 tidak lagi mampu menampung pertambahan bilangan staf, pelanggan dan perkhidmatan yang ditawarkan LHDN saban hari,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib menjawab pertanyaan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang memintanya menjelaskan keputusan menyewa dan perincian pejabat LHDN di Kuantan yang disewa daripada syarikat CDO dengan kadar RM680,000 sebulan.

Menara CDO dimiliki firma swasta, CDO Resources Sdn Bhd.

Menara CDO berkeluasan 203,455.47 kaki persegi itu merangkumi 13 tingkat ruang pejabat dan 2 tingkat parkir bawah tanah bagi menempatkan pejabat pengarah Pahang, LHDN cawangan Kuantan dan LHDN cawangan siasatan Kuantan.

Najib berkata, penyewaan bangunan itu sesuai kerana ia menyediakan ruang kerja kepada 260 pegawai, termasuk pekerja sambilan dan kontrak, selain kemudahan kondusif kepada pelanggan LHDN.

“Bayaran kadar sewa adalah meliputi sewaan ruang pejabat, perabot dan peralatan, insurans kebakaran, pembaikan kerosakan dalaman dan luaran bangunan, penyelenggaraan ruang pejabat.

“Bukan itu sahaja, ia juga meliputi bayaran cukai pintu dan cukai tanah, penyediaan parkir bawah tanah bangunan serta kelengkapan lain seperti sistem keselamatan, sistem teknologi maklumat dan sistem elektronik voltanik rendah,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *