SPRM tidak diberitahu mengenai adanya ancaman terhadap pemberi maklumat 1MDB

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak menerima apa-apa maklumat berhubung seorang pegawai penyiasat Amerika Syarikat yang meluahkan kebimbangan mengenai ancaman terhadap pemberi maklumat berkaitan siasatan terhadap 1MDB, kata Datuk Paul Low Seng Kuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjawab soalan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang) yang meminta Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada SPRM sudah membuka kertas siasatan berkaitan deklrasi pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Robert Heuchling yang menyebut kebimbangan terhadap keselamatan pemberi maklumat mengenai salah laku 1MDB.

1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan, kini menjadi tumpuan FBI dalam siasatan jenayah mengenai kecurian dana berbilion dolar.

“SPRM tidak ada menerima apa-apa maklumat daripada FBI berhubung deklarasi bertulis yang didakwa ditulis pegawai FBI bernama Heuchling,” kata Low dalam jawapan bertulis seperti dilaporkan oleh FMT.

Dalam dokumen mahkamah difailkan di Los Angeles, Heuchling menggesa mahkamah supaya melindungi identiti pemberi maklumatnya dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Heuchling memetik laporan media termasuk kes seorang pemandu kepada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang ditembak bagi membuktikan tahap keseriusan tentang rasa bimbang mengenai keselamatan itu.

Heuchling turut mendedahkan insiden Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan pihak berkuasa pada 1 September 2015 ketika mengumumkan hasrat ke New York untuk memberikan maklumat mengenai 1MDB.

Sementara itu, Najib dalam satu jawapan bertulis menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PPBM-Pagoh) berkata, laporan kewangan 1MDB tidak pernah dan tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Laporan kewangan 1MDB adalah dokumen yang diaudit dan difailkan bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Mana-mana pihak yang memerlukan laporan kewangan 1MDB hendaklah merujuk dokumen daripada sumber tersebut.

“Penyata kewangan 1MDB yang diaudit bagi tahun 2009 hingga 2014 boleh dimuat turut di laman web SSM,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Pada Ogos, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memohon hakim menangguhkan permohonan sivil merampas pelbagai aset bernilai lebih AS$1 bilion di negara itu, United Kingdom dan Switzerland sementara ia menjalankan siasatan jenayah terhadap dana yang dilarikan daripada 1MDB.

Aset yang menjadi sasaran DoJ diperolehi oleh ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low; anak tiri Najib, Riza Aziz dan Khadem al Qubaisi, bekas pengarah urusan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co.

Najib yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lalu menafikan sebarang salah laku, dan diisytiharkan tidak bersalah oleh peguam negara di Malaysia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *