‘DAP parti Cina’ adalah cerita tahun 2012, agenda Umno sekat Melayu beri undi pilihan raya

Rupanya menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula berkali-kali ini hanyalah untuk memperlihatkan betapa parti itu hanya akan mengangkat orang Cina sebagai pemimpin utama.

Selesai pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) semalam, ulasan paling awal dikeluarkan anasir propaganda kerajaan ialah persoalan kenapa wajah-wajah Melayu yang masuk DAP tidak dilantik masuk CEC.

Ketua Penerangan Umno, si Annuar Musa sepantas kilat menyerang keputusan pemilihan itu sebagai bukti bahawa DAP bukan parti pelbagai kaum. DAP parti Cina. Walaupun dia langsung tidak berani menyebut demikian.

Annuar hanya sebut DAP ‘dikuasai kaum tertentu’. Macam parti dia dikuasai kaum tertentu juga, tanpa menyebut Melayu. Kerana takut MCA dan Gerakan kecil hati.

“Lim Kit Siang boleh kelentong DAP parti pelbagai kaum. Sekarang apa jadi. Kalau DAP pelbagai kaum kenapa tidak pilih Melayu,” kata dia.

Pertamanya, kita harus ingat bahawa pemilihan CEC semalam adalah pemilihan semula yang diadakan untuk kali kedua setelah DAP akur kepada arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya pemilihan semula diadakan.

Pemilihan semula kali pertama telah diadakan pada tahun 2013, apabila keputusan pemilihan tahun sebelumnya disangkal ekoran kesilapan teknikal ketika mengumumkan keputusan undian.

Setelah pemilihan semula 2013, ROS mendiamkan diri sehingga empat tahun lamanya, sebelum dicucuk oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sarifuddin yang membawa kepada pemilihan semula kali kedua, semalam.

Akur dengan arahan ROS, senarai calon CEC yang diundi semalam adalah senarai yang sama digunakan pada tahun 2012.

Senarai itu turut memuatkan nama mendiang Karpal Singh, yang telah meninggal dunia dalam nahas jalanraya tiga tahun lalu; selain beberapa individu yang telah meninggalkan parti, kalau pun tidak meninggal dunia.

Maka apabila beberapa pihak mempersoalkan kenapa nama-nama seperti Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said; pakar undang-undang perlembagaan Dr Aziz Bari, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim; malah Mejar Zaidi yang telah keluar PAS masuk DAP, tidak masuk CEC, kita hanya boleh ketawa sambil menepuk dahi.

Dalam tidak sedar, mereka memberitahu satu dunia bahawa DAP dianggotai nama-nama besar ini. Itu belum dikira lambakan anak muda Melayu yang berbondong-bondong menyertai DAP pasca pilihanraya kecil Teluk Intan.

Barangkali mereka lupa fenomena itu.

Dari cuma Dyana Sofya, DAP menyaksikan wajah-wajah baru seperti Young Syefura, Edry Faizal, Jamaliah Jamaluddin, Syerleena Rashid yang masing-masing bekerja keras sebagai Ahli Majlis; Sheikh Omar Ali di Johor, malah bekas peguam PAS Zulhazmi Shariff, Abdul Aziz Isa di Sarawak, Nurul Shifa di Perlis dan ratusan lagi alumni Sekolah Demokrasi yang sedang bekerja di peringkat akar rumput tanpa menonjolkan diri.

Fenomena Melayu masuk DAP inilah yang cuba dipadamkan dengan menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula berkali-kali dengan senarai dari lima tahun lampau.

United Malays National Organisation akan terus cuba memadam hakikat bahawa DAP punya dua Ahli Parlimen Melayu di Raub dan Bukit Bendera. Kalau Mahdzir Ibrahim tidak tewas di Tanjung Piai pada PRU13, sudah ada tiga. Ia akan cuba melupakan rakyat bahawa Tengku Zulpuri itu Adun DAP di Mentakab, merangkap Ketua Pembangkang DUN Pahang.

Itu belum dicampur nama-nama tokoh lampau seperti Fadzlan Yahya, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, Ahmad Ton dan yang lain-lainnya.

Senator Dr Ariffin Omar, yang terkeluar daripada senarai CEC semalam juga tokoh besar dalam lapangan akademia Melayu. Itu juga DAP, tapi UMNO tak mahu anda tahu. Dr Ariffin adalah Naib Pengerusi Kebangsaan sejak 2012.

Naratif ‘DAP parti Cina’ ini adalah naratif lima tahun lalu. Drama panjang ini cuba diulang tayang menghampiri pilihanraya kerana UMNO menyangkakan rakyat Malaysia tidak pandai menggunakan Google.

Maka cerita yang sama diulang-ulang, tanpa menyertakan maklumat tambahan.

Penyudahnya rakyat dibodohkan tanpa henti. Rakyat yang bodoh memang disukai pemerintah, supaya boleh dicucuk hidungnya dan diheret ke sana ke mari. Disuruh baca tulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff misalnya, yang kini menulis di Harakah; lidah parti PAS yang dahulu bersungguh-sungguh mempertahankan DAP ini parti politik berbilang kaum.

Rakyat perlu diberitahu fakta. Ini pemilihan semula, dengan senarai calon 2012 yang masih mengekalkan nama mendiang Karpal Singh.

DAP itu parti majoriti Cina kerana Melayu seperti anda tidak mahu mendekat kerana termakan dengan momokan UMNO yang kini disokong PAS.

Mahu lebih ramai Melayu dalam CEC? Nah, isi borang DAP. Selesai masalah.

>> Komentar bebas oleh Izmil Amri dan telah tersiar dalam Roketkini I 21 Nov 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *