Sekarang peluang terbaik untuk rakyat desak kerajaan bebaskan Anwar kata Nurul Izzah

SHAH ALAM: Sekarang adalah masa terbaik untuk penyokong pembangkang mendesak kerajaan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara 5 tahun, kata anak sulungnya.

Nurul Izzah berkata, kesihatan bapanya tidak akan bertambah baik, jika bekas ketua pembangkang itu yang baru selesai pembedahan bahu kanannya, menjalani proses pemulihan dalam penjara.

“Dalam keadaan sebegini, tolonglah kita ambil peluang desak beliau dibebaskan secepat mungkin.

“Tiada cara untuk beliau bertahan di penjara dengan kesakitan seperti itu,” katanya ketika berucap dalam majlis solat hajat dan tahlil sempena kejayaan pembedahan Anwar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, malam 13 November lalu.

Anwar menjalani pembedahan “arthroskopik” di bahu kanannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), mulai 9 pagi hingga 1.30 petang Ahad.

Kecedaraan di bahu kanan Anwar bermula selepas beliau terlibat dalam kemalangan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 2014.

Keadaannya diburukkan lagi dengan kemalangan membabitkan kenderaan yang membawanya dari HKL ke Penjara Sungai Buloh pada 22 September lalu.

Izzah yang juga naib presiden PKR berkata, lebih 8 bulan keluarganya menunggu persetujuan pihak berkuasa untuk Anwar menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Ayahanda saya ucapkan terima kasih. Sampai saat sehari sebelum pembedahan, beliau tetap berpesan jangan lupa tangani isu banjir di Pulau Pinang dan kos sara hidup rakyat.

“Segala dalam hidup mungkin berlaku, yang penting kita mesti istiqamah… saya amat bersyukur pada usia 70 tahun, saya masih dapat menemani ayah saya. Kita tidak tahu bila orang yang kita kasihi akan dipanggil Allah,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *