Putrajaya perlu jelaskan bayaran tahunan RM70 juta kepada MRCB ekoran mansuh kutipan tol

KUALA LUMPUR: Putrajaya perlu jelaskan bayaran tahunan sebanyak RM70 juta kepada pengendali lebuh raya Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) selepas keputusannya untuk memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Beliau mempersoalkan sama ada keputusan itu satu lagi jaminan (bailout) kerajaan, kerana ia bukan lagi satu rahsia yang MRCB telah lebih dari setahun cuba melupuskan EDL disebabkan aliran tunai tidak sepadan antara kutipan tol dan hutang.

“Bagaimana Kementerian Kewangan boleh mencecah RM70 juta setahun sebagai pampasan kepada pemansuhan tol di EDL? Terutamanya apabila keuntungan MRCB dari lebuhraya itu hanya RM59 juta pada tahun lepas,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani berkata pampasan untuk pemansuhan tol di EDL dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta setahun, lapor The Malaysian Insight.

Teo berkata mengikut Laporan Tahunan MRCB 2016, EDL menjana pendapatan berjumlah RM112 juta, turun sebanyak 2.6% berbanding RM115 juta pada 2015.

Beliau berkata laporan itu juga menyatakan keuntungan segmen tahun lepas ialah RM59 juta.

Tambahnya lagi, laporan menyatakan jumlah kos pelaburan lebuh raya sepanjang 8.1km itu ialah RM1.2 bilion.

Pada 2014, kerajaan Barisan Nasional membayar RM62,955,148 kepada MRCB bagi pengangguhan mewartakan kutipan tol.

“Konsesi EDL berjalan selama 30 tahun, berakhir pada 2042. Ini akan menjadikan pampasan bagi pemansuhan tol di EDL kepada RM1.75 bilion.

“Kerajaan mesti jelaskan tentang mekanisme pampasan ini. Bagaimana boleh mencecah RM70 juta setahun jika kerajaan akan mengambil alih bon RM1 bilion yang dikaitkan dengan EDL di Johor?”

Seorang penganalisis dipetik oleh The Star berkata, MRCB menghadapi halangan dalam menjual lebuh raya itu disebabkan perbezaan penilaian dan struktur hutang aset itu.

PLUS Malaysia Bhd dikatakan salah satu daripada pihak yang berminat untuk membeli.

“Jadi, difahami yang MRCB akan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Najib Razak untuk memansuhkan tol di EDL.

“Rakyat perlu tahu sama ada keputusan itu untuk rakyat atau satu lagi jaminan.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *