Pakatan tentera Arab Saudi buka semula 6 pelabuhan Yaman untuk bantuan kemanusiaan

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Pakatan tentera diterajui Arab Saudi akan membuka semula pelabuhan dan lapangan terbang di kawasan dikuasai kerajaan Yaman, namun kemudahan sama di lokasi dikuasai pemberontak termasuk pelabuhan utama Hudaidah, akan terus ditutup, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang diplomat Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Menurut Bernama, langkah pertama membuka semula kemudahan terbabit akan dibuat dalam 24 jam, melibatkan pelabuhan Aden, Mukalla dan Mocha serta lapangan terbang Aden, Seiyun dan Socotra, kata Abdallah Y Al-Mouallimi.

Bagi pelabuhan di Laut Merah iaitu Hudaidah, yang menjadi sumber penyelamat bagi penghantaran bantuan kemanusiaan, tidak akan dibuka semula melainkan satu pengesahan lebih ketat PBB dan mekanisme pemeriksaan diwujudkan, kata duta Arab Saudi itu kepada pemberita.

Pakatan tentera diterajui Arab Saudi itu, yang sedang menentang pemberontak Houthi di Yaman serta berusaha memulihkan kerajaan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi, telah meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menghantar pakar ke Riyadh untuk membangunkan satu mekanisme pengesahan dan pemeriksaan lebih ketat dan berkesan bagi mencegah penyeludupan senjata dan bahagian-bahagian peluru berpandu dari luar negara menerusi pelabuhan dikuasai pemberontak.

Pakatan tentera diterajui Arab Saudi menyekat akses jalan darat, laut dan udara ke Yaman selepas Arab Saudi memintas satu peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak Houthi ke arah Riyadh pada 4 November.

Penutupan pelabuhan itu bagaimanapun memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sedia teruk di Yaman.

Ketua bantuan kemanusiaan PBB Mark Lowcock memberi amaran minggu lepas, negara itu kini berdepan ancaman kebuluran paling buruk sejak beberapa dekad lalu.
Seluruh penduduk Yaman bergantung kepada makanan, minyak dan perubatan yang diimport, khususnya melalui pelabuhan.

Lebih 17 juta rakyat Yaman, atau lebih 2/3 populasi sudah pun berdepan kekurangan makanan, kata Stephane Dujarric, jurucakap Guterres, semasa taklimat harian.

Tanpa import komoditi kritikal terbabit menerusi penarikan balik sekatan ke atas semua pelabuhan, termasuk Hudaidah dan Saleef, situasi akan bertambah buruk, kata Dujarric.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia berkata stok beras sedia ada akan habis dalam tempoh 111 hari manakala stok gandum hanya mampu bertahan selama 97 hari lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *