MP Petaling Jaya Utara dakwa tiada syarikat minat membida Projek Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat DAP, Tony Pua hari ini mendakwa kelewatan dan pengumuman tidak konsisten kerajaan pusat memberi gambaran masih tiada syarikat berminat membida projek Bandar Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, syarikat yang dipanggil mungkin tidak berminat atau tidak mahu menawarkan nilai setara dengan penilaian Kementerian Kewangan.

“Kementerian Kewangan seharusnya berhenti bermimpi di siang hari dan segera bangkit. Tawaran tender terbuka Bandar Malaysia sebelum ini hanya dibuat konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH).

“IWH memenangi bidaan itu, tetapi gagal memperolehi pembiayaan yang diperlukan bagi menyelesaikan transaksi berkenaan,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat.

Pua berkata, tidak wajar untuk mana-mana syarikat global membida projek Bandar Malaysia selepas mereka tahu Kementerian Kewangan terdesak mencari pemaju induk.

Pada 26 Julai lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, 8 syarikat berminat menjadi pemaju induk bagi projek Bandar Malaysia bernilai RM12.35 bilion.

Awal Julai lalu, proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi memilih pemaju utama projek itu dibuka, selepas TRX City Sdn Bhd menamatkan perjanjian jualan 60% saham dalam Bandar Malaysia kepada konsortium IWH dan China Railway Engineering Corp (CREC), Mei lalu.

TRX City mendakwa perjanjian jualan saham yang dimeterai dengan IWH-CREC pada 2015 sudah luput dan terbatal kerana “gagal memenuhi obligasi pembayaran”, tetapi konsortium itu mempertikaikan tuduhan berkenaan.

Pada 23 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata, 6 syarikat berminat menjadi pemaju induk Bandar Malaysia, tetapi kerajaan tidak tahu berapa syarikat yang akan menyerahkan cadangan mereka berdasarkan RFP untuk projek itu.

Pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd itu bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada IWH, CREC atau kedua-duanya antara 6 syarikat yang berminat dalam projek Bandar Malaysia.

Pada 22 Jun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan antara kriteria yang perlu dipenuhi syarikat dan/atau konsortium yang berminat ialah mereka perlu merupakan sekutu kepada syarikat Fortune 500 bagi memastikan kekuatan kewangan, sekutu syarikat yang menjana perolehan secara kumulatifnya, dalam tempoh 3 tahun lepas, tidak kurang RM50 bilion daripada keseluruhan rantaian nilai perniagaan hartanah dan berkaitan serta pengalaman dalam projek pembangunan hartanah berkualiti antarabangsa.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan seluas 197 hektar yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi. Projek yang dijangka mengambil masa 15 hingga 25 tahun itu akan membuka 220,000 peluang pekerjaan.

Pembangunan fasa pertama Bandar Malaysia yang sepatutnya dimulakan tahun ini akan mengambil masa 5 hingga 10 tahun.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *