Tuan Ibrahim pun mahu Pakatan Harapan menang PRU14, buang BN perkasa SPRM

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untuk membolehkan SPRM melaksanakan revolusi bagi menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara, BN perlu dibuang terlebih dahulu.

Katanya, keperluan itu timbul kerana semua usaha yang wajar dilakukan oleh SPRM akan menjadi sukar selagi BN berkuasa.

Mengambil satu contoh, Tuan Ibrahim menegaskan, ketika ini masyarakat masih keliru mengenai tafsiran “hadiah” daripada pihak tertentu yang berkepentingan.

“Sumber kekeliruan rakyat terhadap rasuah adalah hasil daripada campurtangan BN dalam SPRM selama ini.

“Tetapi, selagi BN berkuasa, segala-galanya susah untuk SPRM bergerak seperti yang sewajarnya,” ujar beliau lagi.

Apabila Tuan Ibrahim menegaskan BN perlu dibuang daripada memerintah negara ini, siapa agak-agak yang ada dalam fikirannya paling layak jadi pengganti untuk mengambil alih Putrajaya?

Adakah Gagasan Sejahtera yang didalamnya ada Pas, Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia yang tidak begitu dikenali dan bertanding pula hanya 100 kerusi Parlimen saja?

Atau Pakatan Harapan yang bukan saja lengkap dianggotai parti-parti yang mewakili kepentingan semua kaum, bertanding hampir semua kerusi serta di dalamnya sedia dibarisi pemimpin-pemimpin ternama dan berpengalaman?

Lagi pun, siapa lagi selain Pakatan Harapan yang mempunyai iltizam tinggi untuk memerangi rasuah di mana dua daripada tujuh tawaran selepas 100 hari mengambil alih Putrajaya – memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh dan memerangi rasuah hingga ke akar umbi – adalah sangat-sangat jelas ke arah seperti yang disebut oleh Tuan Ibrahim itu.

Boleh kita ucapkan terima kasih awal-awal kepada Tuan Ibrahim?

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penaganlisa politik semasa I 14 Oktober 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *