Kos ECRL dijangka meningkat cecah RM70 bilion berbanding kos asal hanya RM55 bilion

KUALA LUMPUR: DAP melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan kos bagi projek mega Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mencecah RM70 billion berbanding RM55 bilion sebelum ini.

Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, kos pembinaan yang tinggi akan menyebabkan harga tambang dan caj perkhidmatan kargo menjadi mahal.

“Apabila harga tiket bagi penumpang dan kargo menjadi tidak kompetitif atau tinggi ekoran peningkatan kos projek, ECRL mungkin akan jarang digunakan dan akhirnya menjadi ‘gajah putih’ yang mahal,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Jika tidak kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada ECRL bagi memastikan harga tambang kekal kompetetif, yang mana secara tidak langsung ditanggung oleh wang pembayar cukai. Akhirnya, rakyat terpaksa menanggung semua itu.”

Sehubungan itu, katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, rakyat berhak dimaklumkan mengenai butir terperinci berhubung kos pembinaan ECRL yang dianggap akhbar The Edge sebagai projek kereta api termahal dalam kelasnya di dunia.

Bee Yin berkata demikian mengulas laporan The Edge pada Isnin lepas yang memetik sumber sebagai berkata bahawa kos projek ECRL yang sebelum ini dianggarkan berjumlah RM55 bilion akan meningkat antara RM60 bilion dan RM70 bilion.

Projek kereta api yang menghubungkan Pantai Timur dan Barat Malaysia itu dianugerahkan tanpa tender terbuka kepada sebuah syarikat kontraktor China, China Communication Construction Co Ltd (CCCC).

The Edge turut melaporkan bahawa 85 peratus daripada RM55 bilion – anggaran asal kos projek ECRL – akan dibiayai oleh entiti perbankan negara Tanah Besar itu, Export-Import Bank of China dengan kadar faedah 3.25 peratus dengan tujuh tahun tempoh pembayaran balik.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *