Kerajaan Pulau Pinang bina 4 kali ganda rumah berbanding semasa pentadbiran BN

BUTTERWORTH: Sebanyak 21,535 unit rumah kos rendah dan kos rendah sederhana telah berjaya dibina oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak menerajui kepimpinan pada tahun 2008.

Malah jika dibuat perbandingan ia merupakan empat kali ganda dari keseluruhan 5,154 unit kediaman yang telah dibina oleh kerajaan BN dalam tempoh yang sama selama tujuh tahun pemerintahan.

Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang ada kini mampu untuk membawa lebih banyak perubahan jika dibezakan dengan kepimpinan BN sebelum ini di Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika pelancaran Rumah Mampu Milik (RMM) di Mak Mandin, Butterworth.

Selain itu ujarnya, sejumlah 36,759 unit kediaman RMM mengikut garis panduan seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri telah pun diluluskan untuk dimajukan oleh sektor swasta.

“Kerajaan Negeri bekerjasama membina RMM dengan pihak swasta kerana Kerajaan Pusat hanya berjanji dan terus berjanji.

“Namun begitu sehingga kini, masih tiada satu pun projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) telah pun dibina di negeri ini.

“Walau bagaimana pun Kerajaan Negeri tetap komited untuk membina kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat negeri ini bagi memenuhi keperluan sedia ada,” katanya.

Adalah difahamkan sehingga kini sebanyak 17 projek RMM Kerajaan Negeri dalam pelbagai tahap perancangan pemajuan bagi menyediakan sejumlah 28,230 unit kediaman.

Daripada 17 projek tersebut, lima projek telah pun bermula merangkumi Bandar Cassia, Teluk Kumbar, Kampung Jawa, Sandilands dan Jalan SP Chelliah.

Dengan tersiapnya pembinaan kediaman-kediaman tersebut ia dapat mengurangkan permintaan yang amat tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini.

Sebelum ini Umno dan BN sering memberi gambaran yang buruk terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri apabila menafikan pembinaan kediaman rumah kos rendah dan kos rendah sederhana.

Melalui statistik yang dipaparkan ia dapat membezakan antara kepimpinan BN sebelum mereka tewas dan menjadi pembangkang di Pulau Pinang sejak 2008 yang lalu sehinggalah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang kini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *