Faisal Tehrani kecam hipokrasi Putrajaya lobi gelaran KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020

KUALA LUMPUR: Penulis terkenal Faizal Musa mengecam hipokrasi di sebalik usaha Malaysia melobi gelaran Ibu Kota Buku Dunia 2020, menyusuli pengharaman 7 bukunya dan penulis lain baru-baru ini.

Dikenali sebagai Faisal Tehrani, beliau berkata usaha melobi gelaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB itu oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) itu menunjukkan kerajaan langsung tidak mempunyai perasaan malu.

“Pelapor khas PBB dalam bidang hak kebudayaan Karima Bennoune menuntut Malaysia menarik balik pengharaman karya saya dan Zunar.

“Hairan sekali Malaysia ada impian dan cita-cita menjadi Ibu Kota Buku Dunia, selepas mereka mengharamkan 7 buku saya dan ramai lagi.

“Buku bukan sekadar buku, tetapi mempunyai cerita dan kandungan kebudayaan. Kamu tidak memberi peluang kepada pembaca untuk membaca dan membuat tafsiran apabila mengharamkan buku-buku itu,” katanya kepada FMT.

Faizal berkata pihak berkuasa harus mula memuliakan buku, penulis, penerbit dan artis sebelum mempunyai impian tinggi.

“Hormati kami. Berikan hak kami. Beri peluang kepada pembaca untuk membaca dan membuat tafsiran, dan kemudian kamu boleh kejar apa sahaja cita-cita dan impian yang kamu mahu,” katanya.

Faizal menambah kerajaan cenderung melakukan sesuatu yang berbeza di luar negara, tetapi mengambil pendekatan yang lain pula di negara sendiri.

Kerajaan sebelum ini mengharamkan 6 karya Faisal Tehrani, antaranya “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala” dan “Ingin Jadi Nasrallah”, kerana dikatakan mempunyai pengaruh fahaman Syiah, yang dikecam pihak berkuasa agama sebagai menyeleweng.

“Aku _, Maka Aku Ada!” karya terbaharu Faizal yang diharamkan pihak berkuasa, kerana mengandungi fakta yang mengelirukan yang menjurus kepada fahaman Syiah dan liberalisme yang dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Turut diharamkan ialah karya sarjana Turki, Mustafa Akyol, bertajuk “Islam tanpa keekstreman: Berhujah untuk kebebasan” dan “Islam without extremes: A muslim case for liberty”; karya Wan Ji Wan Hussin bertajuk “Ulama yang bukan pewaris Nabi”; dan karya Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa bertajuk “Wacana pemikiran reformis (Jilid I)” dan “Wacana pemikiran reformis (Jilid II)”.

“Fakta dikupas menggunakan logik akal, mengandungi unsur-unsur penghinaan terhadap agama Islam dan jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar,” kata Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim 9 Oktober lalu.

Media melaporkan kerajaan mahu melobi Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada 2020, dalam usaha merancakkan budaya membaca dalam masyarakat.

Bernama melaporkan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abdul Adzis Abas sebagai berkata gelaran Unesco itu akan memberi impak yang besar kepada negara, khususnya pelancongan.

“Tidak malu ke untuk mengatakan sendiri diberikan gelaran Kota Buku Dunia Unesco pada 2020,” kata Faizal di Twitter semalam.

“Malaysia sudah haramkan 7 hasil kerja saya. Hipokrit.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *