Dijangka hadir 100,000 orang, himpunan tetap diteruskan, sedia bekerjasama dengan polis

PETALING JAYA: Pihak polis tidak harus menghalang Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur Petaling Jaya pada 14 Oktober ini yang dianggap tidak sesuai diadakan di lokasi berkenaaan kerana menganggu lalu lintas.

Pengarah Mobilasi Himpunan Mohamad Sabu berkata, pihak sekretariat telah menerima surat daripada Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam, yang memaklumkan himpunan akan diadakan itu menganggu lalu lintas di persekitaran Padang Timur.

Sedangkan pihak penganjur ujarnya, telah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri Selangor, lapor Malaysia Dateline.

“Semalam kita menerima surat daripada pihak polis yang memaklumkan tempat ini (Padang Timur) tidak sesuai diadakan perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptorasi kerana masalah lalu lintas.

“Soal kehadiran kita tidak dapat pastikan sebanyak mana tapi saya yakin tempat ini adalah sesuai. Padang itu mencukupi untuk kehadiran orang ramai dan saya yakin tidaklah begitu besar seperti himpunan Bersih dan sebagainya sebelum ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya semalam.

Bagi menangani masalah aliran lalu lintas yang mungkin berlaku Mohamad yang juga Presiden AMANAH, menegaskan, sekretariat akan bekerjasama dengan pihak polis,anggota keselamatan MBSJ dan pasukan keselamatan pemuda Pakatan Harapan untuk menjamin aliran lalu lintas berjalan lancar pada Sabtu ini.

“Kita akan menulis surat kepada pihak polis untuk memaklumkan kita sedia bekerjasama dengan polis, anggota keselamatan MBSJ dan unit pemuda Pakatan Harapan untuk pastikan aliran trafik di kawasan sekitar lokasi berjalan lancar,” ujarnya.

“Oleh kerana acara ini berbentuk festival maka orang ramai akan datang dan pergi setiap masa. Ia adalah tempat santai sambil mendengar penerangan dan melihat pameran yang diadakan di kawasan tersebut.

“Dalam masa yang singkat dua hari lagi, kami mengambil keputusan akan meneruskan himpunan pada 14 Oktober ini di tempat yang dipersetujui oleh kerajaan negeri Selangor dan MBSJ,” ujarnya yang memaklumkan sekretariat mengambil keputusan tidak akan berganjak ke mana-mana lokasi perhimpunan di saat akhir.

Ditanya kemungkinan sekiranya polis akan menghalang, Mohamad optimis berkata:” Polis Malaysia adalah polis yang boleh berunding. Dulu di KL (himpunan Bersih) begitu juga tetapi mereka sedia boleh berunding.

“Ini himpunan tidak bergerak ia bersangkut paut dengan sistem siar raya yang kos agak tinggi. Kalau himpunan bergerak murah,” ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media ini Pengarah Pilihanraya AMANAH Dr Hatta Ramli,Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Akramshah Muammar Ubaidah Sanusi dan Ketua DAPsy Perak Howard Lee.

Menurut Tony Pua sekretariat telah menghantar surat kepada pihak polis 10 hari lebih awal sebagaimana di peruntukan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Justeru katanya jawaban pihak polis dalam tempoh dua hari sebelum himpunan diadakan tidak seharusnya berlaku.

“Kita menghormati undang-undang dengan menghantar surat pemberitahuan lebih 10 hari di bawah akta perhimpunan aman.

“Tempat ini paling sesuai kerana ada LRT untuk ke kawasan himpunan. Orang ramai akan lebih mudah datang guna pengangkutan awam tanpa pandu kereta, ia sekaligus akan mengurangkan kesesakan trafik. Padang ini besar cukup menampung 50,000 orang.

“Dan tugas polis bukan untuk menghalang sebarang himpunan diadakan sebaliknya menegak dan mempertahankan perlembagaan dengan memberi ruang satu hak (pembangkang) bergerak atau berhimpun secara aman berbanding menghalang dalam apa jua sebab.

“Dulu kata kita tak boleh berarak di tempat terbuka, di tempat tertentu dan di jalan raya sekarang kita buat di padang.

“Melainkan jika mereka (polis) nak menghalang semua perhimpunan (tidak terpilih),” ujarnya.

Bagi melancarkan lalu lintas sekretariat telah memendekkan waktu perhimpunan bermula dari 4 petang hingga 11 malam bagi memudahkan orang ramai datang dan balik dengan menggunakan pengangkutan awam.
Dijangkakan kehadiran sekitar 100,000 orang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *