Akhirnya mohon ampun dengan Sultan, Nasib kuliah Zamihan di Selangor di tangan Jais

SHAH ALAM: Nasib Zamihan Mat Zin bakal ditentukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu dirakam mengkritik Sultan Johor berhubung arahan menghentikan dasar perniagaan “orang Islam sahaja” dalam kuliah agama di Bukit Jelutong minggu lalu.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim belum mahu memberikan sebarang ulasan sebelum melihat laporan kejadian, ketika ditanya sama ada pihak berkuasa agama Selangor itu akan melarang Zamihan daripada berceramah di Selangor berikutan kritikannya terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya baru dimaklumkan tentang isu ustaz Zamihan…selepas laporan dilihat kami akan buat kenyataan,” kata Haris kepada FMT.

Semalam, raja-raja Melayu mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim” di Johor dan seumpamanya di Perlis sebagai tindakan yang bersifat keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian, dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

Kecaman itu menyusuli penularan video Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, yang berkata kenyataan Sultan Johor itu “tidak patut”, dan mempertahankan dasar kedai dobi itu kerana pakaian orang bukan Islam masih tidak cukup bersih, malah menganggap orang bukan Islam tidak membersihkan diri selepas membuang air besar.

Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah pula berkata mereka tertakluk kepada keputusan Jais mengenai undangan ceramah kepada Zamihan pada masa akan datang.

“Kalau didapati bersalah kita tidak panggil lagi, tapi kalau tidak bersalah kemungkinan akan dijemput itu ada,” kata seorang pegawai masjid yang enggan dinamakan kepada FMT.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berkata Zamihan akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan susulan kenyataannya itu.

Zamihan merupakan penceramah jemputan bagi kuliah Subuh di masjid berkenaan pada 7 Oktober lalu yang menyampaikan kuliah bertajuk “Akidah ahli sunnah”.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya.

Menurut Zamihan, masyarakat Cina “sinonim” dengan babi dan arak, oleh itu pakaian umat Islam tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian mereka.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan, sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.

Bagaimanapun, Zamihan hari ini memohon ampun kepada Sultan Johor dan menyerang beberapa media sambil mendakwa difitnah. Zamihan juga berkata beliau tidak menggunakan perkataan “kasar” terhadap Sultan Ibrahim.

“Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku. Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati.”

Zamihan kemudian mengugut menyaman beberapa portal berita termasuk FMT, sambil menyerang FMT kerana mempunyai agenda “merosakkan hubungan antara kaum” dan memburukkan imej beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *