Untuk elak pertandingan 3 penjuru, PSM mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu membentuk pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Satu-satunya wakil rakyat parti itu, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, langkah itu dapat mengelakkan kedua-dua pihak bertembung satu sama lain memandangkan PSM bercadang bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 5 kerusi Parlimen daripada kira-kira 800 kerusi di seluruh negara.

Ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, kerjasama dengan PSM mampu memperluaskan sokongan parti pembangkang kerana parti berkenaan terkenal dengan perjuangan hak rakyat miskin tanpa mengira kaum atau agama.

“Kita bukan sahaja memperjuangkan hak pekerja estet, tetapi juga hak Melayu dan kaum lain.

“Jadi, kita tidak mendesak untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan, tetapi kami mahu pakatan pilihan raya supaya undi tidak pecah,” katanya kepada FMT sebagai mengulas seruan wakil rakyat DAP, Boo Cheng Hau kepada PH untuk mempelawa PSM menyertai gabungan pembangkang itu.

Adun Skudai itu semalam berkata, penting untuk kepimpinan PH mengiktiraf kekuatan yang PSM boleh sumbang kepada pakatan itu kerana ahlinya ialah pekerja akar umbi yang boleh menguatkan PH.

Jeyakumar berkata, parti itu pernah cuba menyertai Pakatan Rakyat pada 2012, sebelum ia dibubarkan pada Jun 2015. Bagaimanapun, tiada perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berharap pakatan pilihan raya itu akan membolehkan calon PSM bertanding di bawah bendera parti itu sendiri, bukan parti lain.

Jeyakumar mula bertanding di Sungai Siput atas tiket DAP pada 1999, sebelum menjadi calon PKR pada 3 PRU seterusnya sehingga 2013.

Pada PRU 1999 dan 2004, Jeyakumar tewas kepada Presiden MIC ketika itu, Tun Samy Vellu sebelum berjaya menundukkannya pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu sehingga kini.

Awal bulan ini, Jeyakumar berkata, parti itu mencapai persetujuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Sungai Siput menggunakan bendera PSM selepas PRU 2013.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Rais Hussin berkata, PSM boleh menulis surat kepada Majlis Presiden PH untuk memohon menyertai pakatan pembangkang itu.

“Majlis itu akan memberi respons sewajarnya kerana keputusan dibuat berdasarkan persetujuan (antara parti komponen).”

Katanya, sesiapa yang mahu “menyelamatkan Malaysia” daripada Barisan Nasional patut menyertai PH.

“Kita perlu bersatu menentang Umno yang mempunyai duit, jentera dan tenaga manusia.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *