Penduduk Melawati ragu isu pembinaan pusat konvensyen, mahu SPRM siasat

PUTRAJAYA: Persatuan Penduduk Taman Melawati Zon A, B dan C hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu projek pembangunan pusat konvensyen di tapak PR14843 di Taman Melawati, Ampang.

Bernama melaporkan, Pengerusinya Razman Hakimi Abdullah berkata, laporan itu bagi membolehkan SPRM menyiasat beberapa justifikasi meragukan termasuk mengenai pelan asal kawasan itu yang diluluskan untuk pembangunan taman rekreasi pada 2014 tetapi diganti dengan projek lain.

Beliau berkata campur tangan SPRM diperlukan kerana kerajaan Selangor didakwa menukar status tanah yang sepatutnya dibina sebuah taman rekreasi untuk kegunaan penduduk.

“Kami mahu SPRM mencari kebenaran bagaimana dalam tempoh 5 bulan ia diganti dengan sebuah projek mega bagi membina pusat konvensyen bernilai RM27 juta dan bagaimana projek besar itu boleh melepasi semua proses kelulusan dengan mudah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di sini kelmarin.

Razman Hakimi mendakwa perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan negeri sebelum ini menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjanjikan kawasan itu dijadikan taman rekreasi dan turut dirizabkan sebagai tanah kemudahan awam.

Malah, pelaksanaan projek itu yang bakal diadakan majlis pecah tanah pada Disember depan turut mengundang pelbagai bantahan terutama berhubung janji pemaju untuk mengekalkan kawasan hijau dengan taman rekreasi gagal ditunaikan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *