KM Pulau Pinang dakwa Umno, Pas kini menutur ‘bahasa sama’ mungkin akan bekerjasama

GEORGE TOWN: Ikrar seorang pemimpin Umno untuk membantu PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1995 di Dewan Rakyat menunjukkan kedua-dua parti itu suka bekerjasama rapat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mengatakan Umno dan PAS menutur “bahasa sama”, Lim berkata ini menunjukkan kedua-dua parti itu berkemungkinan besar bekerjasama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kebelakangan ini, kamu tidak nampak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerang Umno, tetapi sebaliknya beliau memilih untuk menyerang pembangkang.

“Kamu tidak nampak beliau menyerang hal berkaitan rasuah tetapi sebaliknya berterusan menentang parti pembangkang dan bukan Islam.

“Susah untuk saya percaya PAS boleh menafikan kerjasamanya dengan Umno. Malahan, mereka menggunakan bahasa yang sama kebelakangan ini,” kata Ketua Menteri itu kepada pemberita di Bukit Mertajam semalam.

Sabtu lalu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Umno sanggup bekerja dengan PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah). Pindaan itu pertama kali dicadang sebagai rang undang-undang ahli persendirian oleh Hadi tahun lepas adalah untuk memperkasa hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah ke atas pesalah.

Menurut laporan Bernama, ahli Parlimen Ketereh itu berkata Umno dan PAS perlu berbincang dan mencari titik persamaan untuk kebaikan komuniti Islam kerana pertelingkahan yang berterusan tidak akan membawa faedah.
Katanya, walaupun 2 parti itu tidak boleh berkompromi atas sesetengah isu, tetapi mereka masih boleh bekerjasama menggunakan konsep “ta’awun” seperti untuk pindaan Akta 355.

“Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, UMNO sebenarnya tiada apa-apa masalah,” kata Annuar lapor Bernama.

Bagaimanapun, ahli veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ragu-ragu dengan kerjasama ini dan menyeru pimpinan parti mengkaji hubungan rapat dengan PAS bagi memastikan Umno tidak dikhianati buat kali kedua.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata Umno perlu kaji semula hal itu dengan hati-hati sebelum menyetujui kerjasama politik dengan parti Islamis itu pada PRU14.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *