Golongan kiri tidak menyerah walaupun ia kalah daripada memiliki kuasa

Baru-baru ini, sebuah karya Dr Syed Husin Ali dilancarkan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Petaling Jaya.

Dewan di mana majlis pelancaran buku “Sejarah Rakyat Malaysia” itu berlangsung dihias dengan deretan gambar-gambar tokoh haluan kiri seperti Karl Marx, Friedrich Engels, Che Guevara, Sukarno, Kim Il-Sung, Ho Chi Minh dan lain-lain.

Antara yang hadir ialah pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundram dan Dr Nasir Hashim, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Berada di dewan itu, dapat dirasakan bahawa penerbit buku mewakili satu aliran politik yang berpengaruh pada sesuatu golongan intelektual negara.
Walaupun bilangan golongan ini sedikit, tetapi pemikiran mereka terus memberi sumbangan kepada perbahasan intelektual di negara ini.

Mengapakah aliran kiri terus mempunyai pengkagumnya generasi demi generasi walaupun banyak usahanya gagal? Daripada komunisme, nasionalisme kiri hinggalah kepada sosialisme demokrasi, terdapat banyak contoh kegagalan.

Sungguhpun begitu, ada juga kejayaan yang dicapai, umpamanya di negara Scandinavia, dan juga China. Juga banyak dasar aliran kiri diterima pakai oleh pendokong aliran kanan yang berkuasa, termasuk di Malaysia.

Tertarik kepada kiri

Ini kerana aliran politik kiri memiliki idealisme mengenai keadilan sosial, kerakyatan, keserataan, kemanusiaan dan keintelektualan yang menarik minat anak-anak muda serius sepanjang zaman.

Untuk tertarik pada pemikiran kiri, ia menuntut usaha intelektual yang tinggi. Pada asalnya melalui pengaruh persekitaran status kuo, seseorang dengan secara automatik menjadi kanan. Dorongan untuk kaya, pengaruh identiti kaum dan agama sendiri menjadikan seseorang itu sedia berada dalam aliran kanan.

Hanya dengan pemikiran dan pembacaan, barulah kesedaran politik kiri boleh ditimbulkan.

Daripada segi sejarah politik negara, parti yang dianggap kiri ialah Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya. Kedua-duanya pernah bergabung dalam Front Sosialis Rakyat Malaya (SF). Paling kiri dan dianggap ekstremis sudah tentu adalah Parti Komunis Malaya (PKM).

Tetapi tidak semua orang kiri atau sosialis adalah komunis. Walaupun penyokong komunis juga menamakan pergerakan mereka sebagai sosialis. Sementara musuh kiri gemar menyamakan sosialis dengan komunis.

Tekanan terhadap golongan kiri berlaku apabila Perang Dingin bermula pada 1947 dengan kesannya ialah PKM mengangkat senjata hinggakan Darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Golongan sosialis yang bukan komunis turut jadi mangsa tekanan ini, walaupun Darurat berakhir pada tahun 1960.

Kiri yang luas

Tetapi apa yang disebut sebagai kiri meliputi spektrum politik yang luas. Daripada kiri tengah (centre left) hinggalah kiri jauh (far left), ia menyentuh pelbagai pendirian parti politik.

DAP dan PKR boleh dianggap kiri tengah. Tetapi pada suatu masa, Parti Gerakan, serpihannya Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas), Parti Progresif Rakyat (PPP) yang kini dinamakan myPPP, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan malah MIC pernah menjadi parti kiri.

Politik aliran kiri mengutarakan konsep rakyat, seperti yang disebut dalam majlis pelancaran buku itu. Rakyat merujuk kepada orang kebanyakan yang menjadi pekerja dan bukan golongan elit yang memiliki keistimewaan kuasa, harta, darjat dan pangkat.

Konsep rakyat inilah yang terpancar pada nama parti kiri, seperti Parti Rakyat. Maka apabila dinamakan sejarah rakyat, konsep rakyat itulah yang ditujukan.

Sumbangan aliran politik kiri inilah yang ingin diabadikan dalam buku “Sejarah Rakyat Malaysia” yang ditulis Syed Husin. Tetapi buku ini hanyalah bersifat tinjauan ringkas yang mencakupi perjalanan luas negara dari zaman purba.

Kiri yang terbenam

Perlu disebut, perjalanan sejarah negara diwarnai 2 aliran, kanan dan kiri. Golongan kanan menang yang diserlahkan melalui kejayaan politik Umno, Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Akibatnya sumbangan aliran kiri terbenam dan terkesamping oleh buku sejarah utama termasuk yang dijadikan teks.

Sebagai pelajar sekolah menengah rendah yang belajar sejarah pada awal 1970-an, saya juga mengenali Umno, Perikatan dan BN. Tetapi saya hanya sedar adanya aliran politik kiri melalui novel yang dijadikan teks sastera seperti Sandera oleh Arenawati, Patah Sayap Terbang Jua oleh A Samad Ismail dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang.

Hanya apabila membaca memoir Ahmad Boestamam bertajuk Merintis Jalan Ke Puncak dan Dr Burhanuddin, Putera Melayu Raya, barulah saya memahami sejarah politik Malaysia turut dicorakkan oleh golongan kiri.

Aliran kiri ini diwakili Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Perjuangannya kemudian dilanjutkan oleh PRM pimpinan Ahmad Boestamam.

PRM kemudian bersekutu dengan Parti Buruh Malaya dan Parti Konvensyen Malaya menubuhkan Front Sosialis Rakyat Malaya. Setelah gabungan ini dibubarkan, PRM pun bertukar nama menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Ahmad Boestamam pula keluar parti dan menubuhkan Parti Marhaen. Satu ciri daripada aliran kiri ini adalah kecenderungan berpecah hingga menjadi kecil dan lemah. Setelah Parti Marhaen bubar, beliau menyertai Pekemas.

Pada tahun 1970-an itu, saya membaca mengenai Syed Husin dalam akhbar PSRM, “Mimbar Sosialis”. Pada tahun 1980-an, golongan kiri ini turut bergerak dalam Institut Analisis Sosial (Insan) yang menerbitkan majalah “Nadi Insan”. Dari situ saya mengenal Jomo dan Nasir Hashim. Walaupun fahaman sosialisme sudah tidak popular, tetapi ada saja intelektualnya yang terus aktif, menulis dan berbincang.

“Nadi Insan” diterbitkan dari tahun 1976 hingga 1983 di bawah Nasir, dan turut melibatkan Jomo.

Dari sosialisme ke pertubuhan sivil

Pada 1989, Soviet Union tumbang dan sosialisme jadi amat tidak popular di seluruh dunia. Kebanyakan aktivis kiri berpindah ke pertubuhan masyarakat sivil, antaranya beralih ke dalam perjuangan alam sekitar dan hak asasi manusia.

Pada 1989, PSRM juga menggugurkan bukan saja fahaman tetapi juga nama “sosialisme”. Mereka kembali menjadi Parti Rakyat, dan lidah rasminya menjadi “Suara Rakyat”. Nasir tidak berpuas hati dan beliau menubuhkan PSM.

Pada tahun itu juga, PKM dibubarkan di bawah perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand. Mereka sudah tidak menjadi ancaman keselamatan dan ahlinya menyertai masyarakat.

Pangkalan PKM di Thailand berubah menjadi Kampung Perdamaian dengan didirikan muzium kecil bagi memperingati perjuangan mereka. Apa yang dapat dilihat ialah mereka menerima hakikat bahawa perjuangan mereka gagal dan mereka merupakan golongan yang kalah. Namun mereka mahukan sejarah negara merakam sumbangan perjuangan kemerdekaan parti itu.

Tidak lama kemudian terbit beberapa buku mengenai sejarah golongan kiri termasuk PKM. Dua penerbit yang kelihatan menerbitkannya ialah Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Maklumat Strategik dan Penyelidikan Pembangunan (SIRD) bersama Gerakbudaya.

Gerakbudaya ditubuhkan pada tahun 2000 oleh Chong Tong Sin yang pernah ditahan di bawah ISA dari 1968 hingga 1972. Ketika itu kerajaan banyak menahan aktivis dan penyokong Parti Buruh.

Pada 2003, PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR. Presiden PRM, Syed Husin menjadi timbalan presiden PKR. Beliau dilantik menjadi senator pada tahun 2012 hingga 2015 sebagai mewakili Selangor.

Namun pada tahun 2005 ada ahli PRM yang berasa tidak puas hati dan menghidupkan parti lama mereka. Ada satu kumpulan kiri lagi yang berasal dari PSM. Ia bernama Alternatif Sosialis.

Pada 2010 beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR. Beliau kemudian mengetuai Pusat Sejarah Rakyat yang beroperasi di Pejabat Gerakbudaya.

Dengan menulis dan menerbitkan Sejarah Rakyat Malaysia ini, ternyata golongan kiri tidak menyerah walaupun ia kalah daripada memiliki kuasa.

>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas wartawan dan editor di Utusan Malaysia, Harakah, Harian Watan dan Mingguan Tempo. Beliau pernah menerbitkan majalah Dunia Islam dan Pembaharu I 10 Oktober 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *