Elak campur tangan politik, ANAK mahu Lembaga Pengarah FGV dirombak

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mengalu-alukan kehadiran semula Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings (FGV) Datuk Zakaria Arshad bermula 16 Oktober ini.

Presidennya Mazlan Aliman berharap gandingan beliau dengan Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar Abd Hamid, mampu melakukan sesuatu khususnya pelan pemulihan ke atas prestasi semasa FGV.

Bagaimanapun, ANAK sekali lagi menegaskan, ahli lembaga pengarah FGV sedia ada harus meletakkan jawatan kerana mereka sudah tidak mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Penyusunan semula ahli lembaga yang mengambil kira latar belakang dan kepakaran berkaitan sektor perladangan mesti diambil kira.

“Kemasukan tiga wakil dari Felda dan rombakan pengurusan FGV amat penting demi masa depan FGV dan memulihkan keyakinan pelabur serta masyarakat Felda itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

FGV dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan membawa masuk kembali Zakaria dibuat oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (KKD).

Menurut FGV keputusan itu dicapai setelah mengambil kira program transformasi yang sedang dilaksanakan, serta komitmen Zakaria untuk menyelesaikan isu hutang syarikat Safitex Trading.

Tambahnya lagi, inkuiri terhadap Zakaria juga dilakukan secara berintegriti, adil dan mengikut amalan pentadbiran korporat yang baik.

Pada 6 Jun lalu, Zakaria, bersama tiga lagi pegawai diarah mengambil cuti 6 Jun lalu, sementara isu hutang Safitex disiasat.

Salah seorang daripadanya, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Talha telah kembali bertugas pada 4 Oktober lalu.

Mazlan berkata, ANAK cukup bimbang cubaan campur tangan luar dan orang politik yang seringkali mengambil kesempatan untuk habuan peribadi seperti yang sering terjadi dan tidak mampu dielak.

“Kepentingan 37 peratus saham Felda, Felda Asset Holding Company dan Koperasi Permodalan Felda dalam FGV adalah sangat besar.

“Moga perkembangan terbaru ini membawa harapan bermakna buat warga Felda,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *