Banyak lagi projek terbengkalai tidak diurus baik oleh Kerajaan Terengganu

Masjid Kristal telah menjadi satu tarikan pelancong yang baru untuk negeri Terengganu Darul Iman. Sebagai tempat ibadat ia mestilah juga di urus dengan baik dari segi penjagaan kemudahan dan keterampilannya.

Malangnya kebelakangan ini banyak perkara telah menjadi rungutan orang ramai sejak 2 atau 3 tahun yang lalu. Sebuah akhbar tempatan Sinar Harian melaporkan rungutan orang ramai tentang kebocoran bumbung diruang-ruang solat, paip untuk berwuduk yang bermasalah, tandas yang tidak terurus dan kerosakan kepada bangunan secara umumnya. Ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku kepada sebuah bangunan ikon negeri dan mengecewakan ramai.

Lebih mengecewakan lagi adalah kenyataan Menteri Besar Terengganu yang menyatakan kemungkinan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang keatas akhbar tersebut kerana menyiarkan rungutan rakyat yang berhak bersuara.

Sepatutnya teguran yang membina patut diberi ucapan terima kasih. Menteri Besar Datuk Seri Razif juga menyatakan berita tersebut akan menjejaskan Tahun Melawat Terengganu pada 2017 ini.

Sebenarnya bukan hanya Masjid Kristal yang bermasalah di Terengganu tetapi banyak lagi bangunan-bangunan lain yang telah lama terbiar dan terbengkalai. Saya pernah beberapa kali menulis tentang masalah-masalah projek:

a. Bumbung Kolam Renang awam di Batu Buruk berharga sekitar RM20 juta, yang telah lama runtuh dan tidak di baiki – sekitar 8 tahun lama sudah runtuh.

b. Bumbung runtuh serta kerosakan kemudahan bangunan Stadium Bolasepak di Gong Badak berharga RM350 juta, yang telah begitu lama, hampir 9 tahun runtuh, serta kecurian peralatan dan masih belum di baiki. Ia terletak bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan jelas kelihatan oleh pelancong.

c. Kerosakan bangunan dan kecurian peralatan utama di Taman Ilmu di Besut yang berharga RM350 juta- hampir 8 tahun.

d. Kegagalan dan masalah Pusat Bebas Cukai di Kenyir berharga RM300 juta yang masih belum boleh di guna selepas 6 tahun.

e. Keadaan tidak terurus Mini Zoo di Kemaman berharga puluhan juta, dengan binatang serta kemudahan tidak memuaskan dan terurus sejak beberapa tahun lepas.

f. Masjid Kristal dengan kos RM23 juta, binaan yang bermasalah dan rosak.

Masjid Kristal hanya sebahagian kecil isu

Sebenarnya isu Masjid Kristal hanya sebahagian yang kecil dari masalah yang jauh lebih besar dan luas melanda Terengganu yang melibatkan jumlah kos keseluruhan sekitar RM1.1 Billion.

Kos Masjid Kristal sebanyak RM23 juta hanya 2 % dari keseluruhan projek mega Terengganu RM1.1 Billion yang rosak, terbengkalai dan tidak terurus.

Bukan hanya pelancong, tetapi rakyat Terenggaanu juga ingin tahu kenapa ia berlaku?

Kerajaan kelihatan hanya berminat membahagikan kontrak projek Mega kepada pihak tertentu sahaja tetapi tidak menunjuk minat menyiapkan , menjaga serta mengurus projek-projek tersebut dengan baik. Mengapa pembaziran dan ketirisan terus berlaku? Itulah yang rakyat ingin jawapan.

Patutlah Terengganu hari ini dikenali sebagai Negeri kaya tetapi rakyat terus miskin. Perbelanjaan hanya untuk golongan atasan sahaja projek mega dan mewah. Janga salahkan rakyat bertanya dan peranan media untuk menyiarkan rungutan dan pertanyaan mereka. Kerajaan mesti peka pandangan serta permintaan rakyat.

Kini projek Mega Jambatan ratusan juta ringgit ke Seberang Takir kawasan Menteri Besar pula sedang berjalan dengan konsep jambatan boleh di angkat dan di turunkan. Berapa lama pula sehingga akan berlaku kerosakan ke atas jambatan naik-turun ini dengan air masin laut dan besi berkarat yang akan berlaku jika tiada pengurusan dan penjagaan yang baik.

Mungkin ia akan menjadi terkenal sebagai jambatan “tergantung” tanpa penjagaan dan pengurusan yang baik. Atasi lah masalah yang telah ada hari ini terdahulu untuk memberi sedikit keyakinan kepada rakyat. Kuasa yang dimiliki kerajaan hari ini adalah amanah yang besar diberi oleh rakyat untuk di pikul dengan sebaik-baiknya dan bukan untuk disalah gunakan.

Tidak ada sebuah negeri lain pun di Malaysia hari ini yang mempunyai 5 projek mega yang sakit dan di abaikan berharga rm 1.1 Billion seperti Terengganu walaupun kita di antara negeri termiskin di Malaysia. Begitu nyata lemah dan tidak bermayanya pemerintahan kerajaan UMNO- BN di Terengganu hari ini.

>> Komentar bebas Datuk Raja Bahrin Shah, AhliParlimen Kuala Terengganu I 10 Oktober 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *