Pusat tahfiz perlu cukup persediaan ilmu, fizikal bagi pastikan pastikan institusi itu berjaya

SHAH ALAM: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pusat tahfiz perlu memiliki persediaan yang mencukupi dari segi ilmu dan fizikal bagi memastikan hasrat penubuhan institusi pengajian Islam itu tercapai.

Menurutnya, tenaga pengajar di sekolah agama dan pusat tahfiz juga harus mempunyai ilmu yang tinggi termasuk memahami aspek maqasid syariah bukannya sewenang-wenang menggunakan gelaran ‘tuan guru’.

Berucap ketika merasmikan Wacana Pendidikan Nasional 2017 di Shah Alam, beliau menceritakan tentang satu poster yang ditemuinya di Tawau berkaitan pengumuman program melibatkan seorang individu bergelar ‘tuan guru’.

“Eh, ini kerjanya dulu tukang kebun sekolah. Bagaimana sekarang bergelar tuan guru? Rupa-rupanya dia sudah membuka satu pusat tahfiz yang cukup besar di Kedah.

“Kita tahu bila dia beri kuliah dia menghafal kaset-kaset Ustaz Fadzil Noor (bekas Presiden Pas). Ilmu yang ada padanya setakat mana tapi sudah bergelar tuan guru sebab membuka pusat tahfiz yang besar sekarang ini,” ujarnya.

Wacana sehari anjuran Biro Pendidikan AMANAH Nasional dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) yang bertemakan ‘Membina Negara Bangsa’ itu menampilkan Pengerusi IDE, Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil sebagai penyampai ucaptama.

Memetik penekanan Prof Siddiq sebelum itu berkenaan ilmu dan pemikiran tinggi yang perlu dimiliki guru atau pembimbing, Mohamad menyifatkan hal tersebut masih belum diberi keutamaan.

“Maka tumbuhlah pusat tahfiz di merata tempat sekarang ini tanpa persediaan ilmu dan persediaan fizikal. Kononnya, atas kesedaran umat Islam untuk kembali kepada ajaran agama Islam.

“Kita agak bimbang dan gusar. Sekolah agama yang wujud tahun 1980-an di atas semangat kebangkitan Islam, lebih tiga per empat telah ditutup sebab tiada persediaaan fizikal dan ilmu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh tentang kepentingan menjaga aspek keselamatan di pusat tahfiz bagi mengelak tragedi kebakaran membabitkan insitusi pengajian itu terus berulang.

“Betul, bila berlaku kebakaran kita akui takdir tapi jangan lupa manusia ada ikhtiar. Ikhtiar dan takdir ini perlu difahami.

“Ketidakmampuan seseorang itu membuka satu pusat pengajian tapi dibuat juga akhirnya yang teraniaya adalah anak-anak dan masyarakat keseluruhannya,” kata Mohamad yang dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan mana-mana individu yang berhasrat mahu membuka pusat tahfiz tetapi masih belum mampu untuk beroperasi sepenuh masa agar membuka kelas pengajian pada sebelah petang terlebih dahulu.

“Kalau kita tidak mampu membuka satu pusat pengajian khusus untuk kanak-kanak dari darjah satu sampai tingkatan lima, memadai biarkan mereka sekolah kebangsaan, dan petangnya dibimbing kelas pengajian fekah kalau tidak mampu.

“Kalau mampu untuk jangka panjang dan pendek silakan untuk membuka kelas-kelas yang dikatakan boleh melahirkan ulamak muktabar pada masa akan datang,” jelasnya lagi yang beberapa kali dilihat merendah diri berkata pandangannya sebagai pemerhati bukanlah pengkaji ilmiah.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *