Rangka dan angka untuk garis politik yang jelas samada dalam bentuk manifesto atau polisi

Pada Oktober 2016 saya telah menyatakan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu menyediakan satu garis politik yang jelas antara gabungan pembangkang yakni HARAPAN dengan PAS yang kini mesra UMNO-Barisan Nasional (BN). Kenyataan ini telah disiarkan oleh freemalaysiatoday.com.

Sepuluh bulan selepas saya mengutarakan pandangan ini, pada Ogos 2017 Majlis Pimpinan HARAPAN memutuskan bahawa tidak ada kerjasama dengan pihak PAS. Keputusan ini berdasarkan pada kegagalan usaha pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR untuk berunding dengan PAS. Malah PAS Pusat dengan garangnya telah memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Keputusan pimpinan HARAPAN ini setidak-tidaknya telah melukis satu garis politik yang jelas yang akan membantu proses-proses dan keputusan-keputusan yang lain.

Apa jua perubahan baharu yang mungkin berlaku antara HARAPAN dan PAS selepas ini, pastinya itu keputusan yang lain, yang pastinya punya sebab musabab yang luar biasa.

Saya tidak mampu mengagak apa-apa perubahan pada minit-minit akhir seperti itu, hanya nujum politik yang arif, tahu menelek keadaan itu.

Melukis garis politik

Garis politik yang asas ini sudah dilukis, ketika ini garis-garis perbezaan antara HARAPAN dan BN itu perlu dilakar lagi agar garis kecil ini semakin tebal, nyata dan ketara.

Perkara-perkara yang boleh menambah keketaraan perbezaan itu ialah dengan rangka dan angka yang betul.

Rangka ini biasanya boleh berbentuk manifesto, boleh juga berbentuk cadangan perubahan dasar dan sistem pentadbiran.

Manakala angka pula, ia boleh dizahirkan dengan nilai-nilai baru yang lebih realistik, munasabah, praktikal dan kreatif.

Secara teorinya ‘rangka’ dan ‘angka’ ini masih berasaskan tentang bagaimana HARAPAN boleh menunjukkan kepada rakyat bagaimana wang cukai kita dibelanjakan dengan cara yang paling bijak, yang paling berbaloi, dan yang mampu menambat keyakinan rakyat kepada HARAPAN.

Rangka dan angka BN gagal

Kita semak bagaimana kerajaan UMNO-BN begitu rakus membelanjakan wang cukai kita. Perbelanjaan itu memberi banyak indikasi untuk difikirkan.

Peruntukan Bajet 2012 berjumlah RM232.8 bilion, ia bertambah pada 2013 sebanyak 251.6 bilion. Pada 2014 belanjawan naik lagi menjadi RM264.2 bilion dan pada belanjawan 2015 sebanyak RM273.9 bilion telah diperuntukkan.

Sekalipun peningkatan ini adalah lumrah, ia terus meningkat bersama pertambahan defisit setiap tahun.

Dengan angka yang sedemikian, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seharusnya semakin menurun yang membawa maksud, peruntukan dan perbelanjaan kerajaan BN telah memberi kesan terhadap sumber rezeki rakyat. Rakyat seharusnya sudah semakin mampu, bukan semakin lesu.

Keadaan lesu ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah penerima dan jumlah dana BR1M.

Pada 2012, bilangan penerima BR1M adalah 4.1 juta dengan jumlah perbelanjaan RM2 bilion, bagi tahun 2013, meningkat lagi kepada 6.8 juta penerima dengan jumlah RM2.9 bilion. Pada 2014, meningkat lagi sebanyak 6.9 juta penerima dengan nilai sebanyak RM3.6 bilion dan pada 2015, terus meningkat sebanyak 7.4 juta penerima iaitu kira-kira RM5.3 bilion.

Nyata sekali, rangka dan angka oleh BN, gagal.

PAS bukan saingan HARAPAN

Rangka dan angka inilah yang akan memberikan garis politik yang ketara antara HARAPAN dan BN termasuk rakan UMNO iaitu PAS.

Perlawanan sebenar adalah HARAPAN dan BN, bukan PAS. PAS yang kononnya bergerak secara bersendirian, tidak akan mampu memberi rangka dan angka yang lebih baik daripada HARAPAN mahupun BN. PAS hanya tahu mengira angka dosa dan pahala manusia.

Buktinya, PAS sendiri tidak mampu mengurus Kelantan dengan lebih cemerlang berbanding zaman Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. PAS sendiri tidak mempunyai mekanisme yang jelas untuk melawan sistem yang melahirkan regim kleptokrasi. PAS juga tidak mampu menjelaskan bagaimana RUU 355 mereka mampu menangkap dan membicarakan pencuri besar seperti “Malaysian Official 1” (MO1).

Maka, mengurus rangka dan angka untuk HARAPAN, adalah lebih utama dan sudah memadai untuk membantu rakyat melupakan politik intrik UMNO dan PAS. Rakyat memerlukan rangka dan angka sebagai garis politik yang jelas untuk meletakkan keyakinan kepada HARAPAN.

Tanpa rangka dan angka yang betul, HARAPAN akan menghadapi kesukaran yang lebih besar, bukan kesukaran berdepan dengan UMNO BN dan PAS sahaja, tetapi kesukaran dalam mengurus kekuatan yang mereka miliki.

>> Komentar bebas Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor I 5 Oktober 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *