Mat Taib silap ‘U-turn’, isu bumiputera, Islam juga meruapkan agenda Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Tokoh perundangan, Dr Abdul Aziz Bari memandang sinis alasan yang diberikan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kembali kepada UMNO yang diibaratkan ‘menepuk dulang memercik ke muka sendiri’.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad yang turut dikenali sebagai Mat Taib yang dilaporkan media sebelum ini mendakwa tindakannya kembali kepada UMNO bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan politik orang Melayu di negara ini.

Menurutnya, ‘U-turn’ Mat Taib itu suatu kesilapan besar kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) sememangnya komited mempertahankan kerangka Bumiputera, Melayu dan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mat Taib buat U-turn masuk Umno beliau silap besar kerana HARAPAN yang sebelum itu PR – komited mempertahankan kerangka Melayu dan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Aziz ketika dihubungi Roketkini.

Apa yang ada dalam Perlembagaan – yang juga disebut dalam perlembagaan-perlembagaan negeri kata beliau juga didokong oleh DAP dan rakan-rakan HARAPAN yang lain.

Malah, dalam Deklarasi Shah Alam 2012, DAP jelas akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan Raja-Raja Melayu, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, mempertahankan Islam sebagai agama rasmi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Adalah pelik bagi seorang yang pernah menjadi MB Selangor dan menteri kabinet untuk bercakap mengenai politik yang hanya berkisar di kalangan orang Melayu sahaja.

“Beliau sepatutnya lebih matang khususnya ketika usia sudah melepasi 70 tahun,” katanya.

Kegusaran dan alasan Mat Taib kembali kepada UMNO untuk mengukuhkan politik orang Melayu itu turut dipersoalkan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor tersebut.

“Selama ini siapa yang memimpin negara? Baik di peringkat persekutuan maupun negeri boleh dikatakan kesemuanya dipegang oleh para pemimpin Melayu,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya, jika Muhammad Mohd Taib masih gusar dengan keadaan dan masa depan politik Melayu, ia adalah kegagalan UMNO sendiri.

“Maknanya UMNOlah yang gagal dan logiknya UMNO patut disingkirkan dari kerusi kekuasaan dan cuba parti lain.

“Dalam HARAPAN, ada parti-parti yang majoritinya Melayu. Hatta DAP pun tidak pernah anti Melayu. Siapa yang rogol gadis Melayu di bawah umur? Pemimpin DAP atau pemimpin UMNO? Yang jelas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dihumban ke penjara dan hilang pencen Ahli Parlimen,” jelas beliau.

Justeru, kepulangan Mohd Taib ke pangkuan UMNO adalah tindakan yang tidak masuk akal kerana pada hakikatnya, “Beliau balik ke pangkuan parti yang terbukti gagal memperjuangkan kedudukan Melayu dan Islam sejak merdeka,” kata Aziz.

Bagaimanapun tindakan bekas Menteri Besar Selangor itu juga disifatkan sebagai langkah yang baik kepada HARAPAN.

“Politik pusing-pusing dan sesat di hujung jalan ini amat menyedihkan.

“Kepulangan bekas Menteri Besar dan menteri kabinet itu baik untuk HARAPAN kerana kita tidak mahu dipimpin oleh orang yang keliru dengan sejarah dan realiti politik negara.

“Ia akan membersihkan PH dari elemen-elemen keliru dan tidak jelas matlamat perjuangan,” katanya lagi.

Secara umum orang Melayu ujarnya perlu sedar dan berani membuat perubahan denagn matlamat dan rasional.

“Orang Melayu tidak harus memperjudikan nasib dan masa depan mereka untuk terus ditipu oleh parti yang bukan sahaja gagal mengangkat martabat Melayu tetapi juga cuai. Bak kata pepatah; pegar yang makan padi.

“Orang Melayu juga perlu realistik dan tidak termakan dengan retorik dan fitnah UMNO. Biarlah UMNO terus keliru dengan pimpinan seperti Mat Taib,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *