Mahu Menteri Pendidikan beri penjalasan, tindakan Adnan bawa Umno ke sekolah melampau

AMANAH Wilayah Persekutuan menyifatkan arahan dan tindakan melampau Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Mansor mempergunakan sekolah sebagai “sarang politik” dan memperalatkan guru-guru serta pelajar untuk mengait serta mempromosikan Umno secara langsung dalam premis sekolah sangat tidak wajar walau di atas apa alasan sekalipun.

Tindakan memperbodohkan rakyat dengan acara sedemikian di Sekolah Kebangsaan Persint 14, Putrajaya baru-baru ini tidak mendatangkan apa-apa impak “pendidikan” melainkan untuk menjaring keuntungan politik kepartaian Umno, BN dan kepentingan Adnan sendiri selaku Ahli Parlimen Putrajaya seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini – www.malaysiakini.com/news/397102

Memacakkan tema “Umno dan Kemerdekaan” dan memaksa pihak sekolah
menjayakannya boleh dilihat mempunyai niat jelas Adnan untuk berpolitik dan mempromosikan Umno kepada masyarakat sekolah yang sepatutnya bebas daripada ancaman politik sedemikian, seolah-olah program itu menjadi “amaran” kepada ibubapa agar jangan sekali-kali mengundi selain BN dalam PRU14 akan datang.

Ini dapat dibuktikan dengan tajuk tema, kibaran bendera Umno selain bendera jalur gemilang, sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu, Dulu Kini dan Selamanya” turut digantung di tengah-tengah pentas. Malah, Adnan dalam ucapannya mempelawa para guru menyertai Umno tanpa rasa segan silu.

Sebaik usai ucapan Adnan, kira-kira 500 pelajar terbabit dan guru-guru melaungkan slogan “Hidup Umno”. Sewaktu Adnan memeriksa bilik darjah yang dihiasi mengikut tema, para pelajar didapati menyanyikan lagu rasmi Umno yang menjadi parti anutan Adnan.

Peristiwa kelam ini sekaligus mengesahkan kesemua ikhtiar yang dilakukan Kementerian Pendidikan selama ini untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa pasti akan terhakis dengan lebih pantas.

Sekalipun Guru Besar sekolah terbabit Mohd Amin Hamzah mempertahankan program tersebut, sambil menekankan ia bukan majlis politik dan sekolah itu cuma menjalankan kegiatan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan tetapi imej, impak dan isinya sarat dengan mesej politik kepartaian sempit Umno yang dibawa oleh Adnan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu AMANAH Wilayah Persekutuan membantah dan memandang serius peristiwa kelam ini dan mendesak Menteri Pendidikan memberi penjelasan segera kewajaran program berkenaan, dibimbangi menjadi teladan ikutan kepada sekolah-sekolah lain seluruh negara pada masa hadapan.

Selain menekankan para pelajar mesti dididik menjadi warga patriotik kepada negara bukan kepada parti politik, pihak sekolah sepatutnya lebih peduli dengan “pencerobohan” orang politik tegar yang tidak bertanggungjawab – agar sekolah, guru-guru dan pelajar tidak disalahgunakan. Ia semestinya bebas daripada
ugutan, gamitan dan tawaran mana-mana parti politik.

Sekiranya Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah bersikap profesional, cubaan “menyamar” di sebalik pertandingan hari kemerdekaan sebagai helah politik tidak akan terjadi sekiranya tawaran ini ditolak ke tempat lain yang lebih sesuai untuk mempromosikan politik, tetapi bertegas bukannya premis sekolah.

>> Komentar bebas TARMIZI MOHD JAM, Timbalan Pengerusi dan Pengarah Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan I 5 Oktober 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *