Mereka yang berkuasa perlu hentikan genosid ke atas Rohingya, titah Raja Nazrin

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah menegaskan bahawa ia memerlukan keberanian bagi mereka yang berkuasa untuk menghentikan genosid yang dilakukan sekarang ke atas etnik Rohingya.

“Kita tidak boleh membenarkan perasaan bimbang menggangu jiran kita atau takut dituduh campur tangan atau khuatir menjejaskan perdagangan serantau daripada menghalang kita daripada menyuarakan kebimbangan dan perhatian berat terhadap yang berlaku di wilayah Rakhine,” kata beliau, lapor Bernama.

Ketika bertitah pada majlis jamuan malam untuk mengumpul dana bagi masyarakat Rohingya di sini malam tadi, Sultan Nazrin menarik perhatian bahawa dalam kes Rohingya, hampir semua kriteria genosid yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terpakai.

PBB pada 1948 mentakrifkan genosid sebagai tindakan yang dilakukan dengan niat untuk melenyapkan secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan etnik, kaum atau agama termasuk membunuh anggota masyarakat itu, menyebabkan kemudaratan tubuh atau mental yang serius terhadap anggota kumpulan masyarakat itu.

Ia juga meliputi secara sengaja menimbulkan keadaan kehidupan untuk menyebabkan pemencilan fizikal secara keseluruhan, mengenakan langkah-langkah bertujuan untuk mencegah kelahiran di kalangan masyarakat itu dan secara paksa memindahkan kanak-kanak kumpulan itu ke kumpulan yang lain.

“Lebih 400,000 etnik Rohingya, atau hampir satu pertiga daripada populasi mereka seramai 1.5 juta di wilayah Rakhine, lari meninggalkan negara mereka dan hidup dalam keadaan melarat di khemah-khemah sementara pelarian.

“Beribu-ribu lagi telah dibunuh dan mayat mereka dicampakkan ke dalam sungai dan kubur-ubur yang cetek. Setiap hari, berpuluh-puluh, jika tidakpun beratus daripada mereka mati kerana kekurangan bekalan makanan dan perubatan atau lemas apabila bot mereka karam di laut,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah masyarakat boleh mengambil pengajaran daripada mereka yang telah melihat dengan mata mereka sendiri kekejaman yang dilakukan, dan daripada mereka yang mengalami penderitaan akibat genosid selama berabad-abad.

“Kita hanya boleh berharap semoga anak-anak kita, generasi masa depan kita, akan belajar untuk melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan walaupun secara kecilan, bagi meringankan penderitaan mangsa-mangsa ketidakadilan dan genosid.

“Kita perlu percaya bahawa kita boleh berubah walaupun sejarah menunjukjan selama berabad-abad bahawa manusia tidak belajar dan selalu tunduk kepada nalurinya,” titah Raja Nazrin.

Majlis yang dianjurkan oleh The Edge Galarie bejaya mengumpul kira-kira RM1.2 juta dan akan disalurkan oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) untuk bantuan kemanusiaan bagi masyarakat Rohingya.

Dana itu dikumpulkan melalui penjualan 15 lukisan yang disumbangkan oleh pelukis-pelukis tempatan yang masyur termasuk Latiff Mohidin, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Ahmad Zaki Anwar dan Chang Fee Meng.

Satu daripada lukisan yang dihasilkan oleh Latiff, khusus sempena acara itu bertajuk Exodus telah dibeli oleh Sultan Nazrin.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Pengerusi Eksekutif The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong dan Pengerusi ECM-Libra Datuk Seri Kalimullah Hassan juga hadir.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *