Kerajaan negeri perlu serius selesaikan isu banjir di Kedah – Johari Abdul

Saya terpanggil untuk mengulas isu ini apabila Pemuda Umno Kedah sendiri telah mempersoal ‘kehilangan’ pemimpin pembangkang ketika rakyat Kedah berdepan musibah banjir di negeri itu sejak 22 September lalu.

1. Sebagai pemimpin Pakatan Harapan, kami tahu akan tanggungjawab masing-masing malah kami juga berada di lapangan membantu mangsa banjir. Cuma, kami tidaklah menunjuk sepertimana pemimpin Umno BN lakukan dengan memanggil media semata-mata untuk memberitahu kepada orang yang mereka membantu rakyat.

Saya memang sangat bersimpati dengan penduduk yang ditimpa musibah banjir ini kerana ia melibatkan banyak keluarga termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan juga warga emas.

2. Apabila ada pihak yang mempersoal ketiadaan pemimpin Pakatan Harapan, saya juga ingin menyoal kembali siapa kerajaan negeri yang memerintah negeri Kedah?

3. Sepatutnya Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Menteri Besar yang harus bertanggungjawab dalam segala hal ehwal yang berlaku dalam negeri. Malah, semua jabatan dan agensi berkaitan perlu diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bagi mendepani kemungkinan berlakunya musibah banjir.

4. Kawasan-kawasan kampung yang berhadapan masalah banjir serupa hampir 10 tahun lamanya terutama ketika musim hujan, sepatutnya dapat diselesaikan awal dengan kerja pendalaman parit di kampung berkenaan bagi melancarkan pengaliran air ke sebuah kawasan takungan air.

5. Rentetan kejadian banjir kilat yang sering melanda di Kedah, kerajaan negeri seharusnya mengambil inisiatif bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan secara menyeluruh agar tidak akan berulang kembali di masa hadapan. Malah sekiranya berlaku banjir yang lebih besar selepas ini.

Saya amat berharap Kerajaan Negeri mengambil serius masalah ini dan pertimbangan penyelesaian sewajarnya yang akan terus diteliti berikutan kekerapan banjir yang melanda negeri ini.

YB Dato’ Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani
Parti KEADILAN Rakyat
2 Oktober 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *