Jelaskan pengharaman, bukan bersembunyi di sebalik ‘ketenteraman awam’ kata Pak Samad

KUALA LUMPUR: Penulis yang diharamkan bukunya oleh kerajaan berhak mendapatkan penjelasan secara terperinci mengapa penulisan mereka dianggap ancaman oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Datuk Seri A. Samad Said, susulan pengharaman terbaharu melibatkan beberapa judul berkait topik ilmiah Islam.

Sasterawan Negara yang lebih dikenali sebagai Pak Samad itu berkata pihak berkuasa perlu berhenti memberikan alasan pendek dan kabur seperti yang diberikan ketika mengharamkan 7 buah buku karya Faisal Tehrani.

Buku karya Faisal, “Aku _, Maka Aku Ada!” adalah antara beberapa judul ilmiah diharamkan KDN dengan alasan ia berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

“Sangat aneh buku Faisal diharamkan malah hampir semua penulisan beliau diharamkan. Tentu ada sebab yang sangat besar,” kata Pak Samad kepada FMT.

“Saya fikir kerajaan harus menjelaskan, dan jangan hanya beritahu sebab satu dua baris sahaja alasan pengharaman itu. Mereka perlu huraian yang masuk akal supaya orang ramai tahu,” katanya.

Menurutnya, penjelasan terperinci dapat membantu penulis mengelak melakukan perkara sama di masa depan.

Pak Samad bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai buku “Aku _, Maka Aku Ada!” kerana belum membacanya.

Selain buku Faisal, 3 judul lain yang diharamkan adalah diterbitkan Islamic Renaissance Front (IRF), termasuk sebuah terjemahan penulisan Mustafa Akyol, penulis Turki yang baru-baru ini ditangkap Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) atas tuduhan berceramah tanpa tauliah.

Buku “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” oleh Akyol itu dilancarkan oleh IRF ketika kunjungan penulis itu ke Malaysia baru-baru ini, dan merupakan terjemahan “Islam Without Extremes” yang membincangkan soal kebebasan dalam dunia Islam.

Pengharaman itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 28 September lepas, dan ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika dihubungi, Faisal berkata beliau tidak dimaklumkan KDN secara terperinci mengenai apa yang dimaksudkan sebagai “ketenteraman awam”.

“Mereka tidak perincikan alasan pengharaman, sekiranya mereka kabur atau memerlukan tafsiran mereka rujuk, bukannya mengharamkan terus. Ini cubaan untuk mengawal minda masyarakat dan mengawal tafsiran pembaca,” katanya kepada FMT.

“Ia juga menyebabkan kerugian dan ia merupakan perkara yang tidak baik untuk industri buku yang sedang meniti masa yang agak keruh.

“Pengharaman ini tidak membantu merancakkan industri buku,” kata Faisal, nama pena Dr Faizal Musa, yang kini bertugas sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebelum ini, 6 novel Faisal, penerimaAnugerah Seni Negara daripada kerajaan Malaysia pada 2006, diharamkan di sebalik tuduhan penulisannya membawa pengaruh Syiah, aliran Islam yang diharamkan pihak berkuasa agama di Malaysia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *