Ikrar sokong PM akan membuatkan negara ini lebih kelam – Dr Azman Ismail

Saya ambil maklum kenyataan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib yang mewakili peladang, penternak dan nelayan yang berikrar untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tidakkah negara ini telah dirosakkan sendiri oleh Najib Razak, pelbagai jenis skandal melanda negara seperti 1MDB, gejala rasuah yang semakin membiak, pengenalan cukai GST yang mencengkam kehidupan rakyat, penarikan pelbagai jenis subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh semua.

Dengan apa yang telah berlaku, saya tidak nampak kerajaan Umno BN perlu dikekalkan malah akan membuatkan rakyat di negara ini akan terjatuh ke dalam ‘gaung’ dan sukar untuk diperbaiki lagi.

Negara kini berdepan dengan pelbagai masalah termasuk keadaan ekonomi yang tidak menentu, nilai ringgit yang lemah malah dilihat tidak bertanggungjawab untuk membantu meringankan beban rakyat.

Peladang dan penternak sering merungut berikutan kelewatan sehingga setahun lamanya untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bagi meningkatkan taraf hidup sehingga menyukarkan mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Antara masalah utama lain yang dihadapi oleh penternak di negara ini ialah kemampuan mereka untuk menghasilkan dan membekalkan daging (lembu dan kambing) secara konsisten.

Nelayan-nelayan di negara ini pula terpaksa bersaing dengan kehadiran bot-bot nelayan asing yang menganggu aktiviti yang menjadi mata pencarian nelayan tempatan.

Meskipun pernah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada tahun 2009 bahawa ada nelayan tempatan yang berjaya menjana pendapatan sehingga RM4000 seminggu setelah masalah pencerobohan oleh nelayan luar dibendung, keadaannya telah berubah sama sekali sekarang.

Saya berharap pihak berkuasa khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dapat menangani isu pencerobohan yang menyebabkan rata-rata nelayan tempatan resah memikirkan punca pendapatan mereka terlalu kerap diancam.

Saya berharap permasalahan demi permasalahan yang dihadapi di ketiga-tiga sektor ini tidak berterusan diabaikan demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

YB Dr Azman Ismail
Ahli Parlimen Kuala Kedah
Pengerusi KEADILAN Kedah
Parti KEADILAN Rakyat

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *