Gesa kerajaan kaji kadar gaji penjawat awam dan swasta – Sany Hamzan

Pemuda AMANAH Nasional menyokong gesaan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta kerajaan mengkaji kadar gaji penjawat awam pada ketika ini. Dalam Kongres Cuepacs yang berlangsung hari ini, kesatuan itu meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

2. Bagi Pemuda AMANAH Nasional, penjawat awam pada ketika ini berdepan dengan situasi yang sangat mencabar disebabkan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup kesan daripada kegagalan kerajaan pada hari ini dalam mengurus tadbir negara dengan baik. Kadar gaji yang mereka perolehi tidak lagi relevan dengan keadaan semasa negara terutama selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

3. Kami berpandangan, pendapatan yang diperolehi oleh penjawat awam khususnya kategori B40 melibatkan seramai 62,000 tidak selari dengan kos sara hidup menyebabkan ramai di kalangan mereka terpaksa memikirkan sumber pendapatan sampingan bagi menampung kekurangan yang ada. Suasana ini sangat tidak baik dan akan memberi kesan yang besar kepada kualiti serta mutu kerja.

4. Melihat kepada semua aspek, kami merasakan gesaan yang dibuat oleh Cuepacs adalah sangat bertepatan dan wajar diambil perhatian oleh kerajaan. Kami sangat yakin, kerajaan sangat berkemampuan untuk melakukannya sekiranya pentadbiran negara bebas daripada rasuah dan penyelewengan.

5. Dalam perkembangan sama, Pemuda AMANAH Nasional juga turut menuntut agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji minima pekerja sektor swasta di negara ini. Kami sangat mengambil perhatian serius kepada kelompok ini yang lebih merasai bebanan hidup ketika ini.

6. Kami mengharapkan kerajaan menetapkan gaji minima yang wajar dan relevan dengan suasana semasa ekonomi di negara ini. Pekerja sektor swasta terutamanya sangat mengharapkan nasib mereka diambil perhatian yang setimpal.

7. Pakatan Harapan sangat komited untuk memastikan penjawat awam dan pekerja sektor swasta meraih pendapatan yang setimpal dan selari dengan kos kehidupan di negara ini. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah terhadap Malaysia wajar dinikmati bersama seluruh rakyat dengan penetapan gaji yang sewajarnya.
Menggalas Harapan Perubahan

#PemudaBekerja

MOHD SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
30 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *