Fungsi serupa SPRM, AMANAH tolak penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara

KUALA LUMPUR: Parti AMANAH Negara (AMANAH) menolak penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dilihat mempunyai fungsi hampir serupa dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low Seng Kuan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha untuk memberikan kuasa pendakwaan kepada SPRM, lapor Malaysia Dateline.

Menurut bekas anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang ditubuhkan parlimen pada tahun 2010 itu, jawatankuasa itu pernah mecadangkan kepada kerajaan agar SPRM diberikan kuasa untuk membuat pendakwaan.

Namun sehingga kini SPRM hanya mempunyai kuasa menyiasat tetapi kuasa pendakwaan tetap di bawah Peguam Negara.

“Banyak kali berlaku kertas pendakwaan yang disiapkan itu akhirnya sampai ke meja Peguam Negara dan banyak kes yang diketahui umum tidak dibawa ke muka pengadilan termasuklah terbaru mengenai skandal 1MDB.

“Jawatankuasa khas mencadangkan untuk memberikan kuasa pendakwaan kepada SPRM. Itu adalah pencapaian paling besar jawatankuasa ini tetapi dua tahun berturut-turut kita menghantar laporan itu kepada Najib (Perdana Menteri) tetapi malangnya tidak ada sebarang tindakan sampai hari ini. Bayangkan dari tahun 2010 sampai tahun 2012 kuasa pendakwaan tetap tidak diberikan kepada SPRM.

“Ini sepatutnya yang menjadi suatu idea besar Datuk Paul Low. Itu yang sepatutnya beliau lakukan sebagai menteri di JPM, beliau boleh menyemak kertas-kertas ataupun laporan dariapda panel-panel SPRM,” katanya pada sidang media di Wisma AMANAH Negara semalam.

Justeru beliau menyifatkan penubuhan JITN sebagai perkara yang karut marut dan bertujuan mengawal kebebasan SPRM.

“Cadangan Datuk Paul Low ini mesti ditolak dan dalam isu ini saya bersama SPRM untuk menyatakan sokongan supaya cadangan ini dikaji semula dan Datuk Paul Low tak ada gagasan pemikiran, tak ada misi tak ada visi tak ada idea besar hanya untuk menyedapkan hati PM.

“Saya cukup bimbang JITN akan memusatkan kuasa PM dan paling malang apabila SPRM dieltakkan di bawah JITN ini,” tegas bekas ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Baru-baru ini, Low berkata JITN akan mempunyai jaringan dengan agensi seperti Biro Pengaduan Awam, Institut Integriti Malaysia, SPRM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Beliau berkata jabatan baharu itu akan bekerjasama dengan ketua setiausaha semua kementerian dalam usaha melakukan penambahbaikan dalam budaya kerja perkhidmatan awam negara ini.

Low berkata JITN juga akan mengkaji cara untuk menangani kelemahan dalam perkhidmatan awam seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Salahuddin turut mencadangkan suruhanjaya perkhidmatan pegawai pencegahan rasuah diwujudkan bagi membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai-pewgawai dalam perkhidmatan institusi itu.

“Antara peranan SPRM ialah memliliki pegawai-pegawai tinggi dan pegawai-pegawai awam yang memang berpengalaman tapi sampai masa melantik ketua pesuruhjaya misalnya, pegawai yang begitu berpengalaman, komited ditukarkan kepada jabatan lain,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *