Krisis ekonomi bukan dongeng, Najib diingatkan berhenti salahkan rakyat

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan yang angkuh dan sombong dalam menangani kritikan terhadap masalah ekonomi negara.

Menurut Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengakui bahawa negara sedang mengalami krisis ekonomi.

Sebaliknya, kata beliau, UMNO-BN menyalahkan rakyat dengan menuduh mereka tidak melakukan usaha yang cukup bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Ia berbeza, katanya, sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa negara mengalami krisis ekonomi pada 1985 dan 1997 dan berusaha mengatasinya.

“Bila menyentuh bab ekonomi, kerajaan Najib Razak dilihat angkuh dan sombong.

“Kerajaan Najib Razak tidak faham kehidupan rakyat biasa dan tidak bersedia untuk mengakui bahawa Najibnomics tidak berupaya untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia.

“Apabila kebimbangan itu dibangkitkan, jawapan mereka adalah dengan menyalahkan mangsa yang mengadu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah dilaporkan media, semalam, berkata bahawa tidak ada sebab rakyat Malaysia boleh menjadi miskin di negara ini.

Beliau turut memberi contoh rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini bagi memberi gambaran bahawa sesiapa pun boleh membina kehidupan di Malaysia jika berusaha.

“Chow Kit tau? Kalau pergi Chow Kit dulu, orang kita (tempatan) yang berniaga, sekarang separuh daripada peniaga di Chow Kit itu orang Indonesia.

“Kalau orang Indonesia boleh hidup di Malaysia, (sepatutnya) orang Malaysia lebih maju,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, negara sedang mengalami ‘krisis senyap’ ekonomi, namun pentadbiran Najib tidak mahu mengakuinya.

“Sebaliknya, kerajaan membebel dengan pujian atau menyalahkan mangsa seperti yang dibuat Irwan sedangkan rakyat biasa kini sedang sengsara,” ujarnya.

Rakyat Malaysia, katanya, dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), penyusutan nilai ringgit sebanyak 30% sejak Oktober 2014 dan pemotongan subsidi.

“Semua ini berlaku ketika gaji tidak meningkat kerana kerajaan tidak ada usaha untuk mengurangkan kemasukkan tenaga buruh asing dan meningkatkan teknologinya,” ujarnya.

Malah, katanya, jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara seperti di Singapura, United Kingdom dan Australia dalam sektor 3D (kotor, sukar dan berbahaya) meningkat.

Tiga negara tersebut mempunyai pendapatan perkapita yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kerajaan harus mengakui bahawa negara sedang mengalami krisis ekonomi, sebelum mencari jalan bagi mengatasinya.

“Kerajaan UMNO-BN mesti berhenti menyalahkan mangsa dan memperolok-olokkan kesengsaraan rakyat Malaysia.

“Najibnomics jelas tidak mengendahkan rakyat biasa,” tegasnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *